DBKL tubuh task force tangani isu rumah berstrata

Mahadi
Mahadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menubuhkan pasukan bertindak atau 'task force' bagi menangani permasalahan rumah berstrata di Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, masalah Badan Pengurusan Bersama (JMB) antara isu berbangkit dihadapi perumahan bertingkat tersebut.

Menurutnya, solusi baharu perlu dilakukan selepas program kesedaran termasuk persidangan yang dilaksanakan sebelum ini gagal mencari jalan penyelesaian.

"Ketika ini, kita sedang lihat isu JMB secara mendalam. Ramai kurang jelas mengenai peranan dan fungsi penubuhan pengurusan berkenaan.

"Langkah segera perlu dilakukan bagi memastikan penduduk kota dapat hidup dengan sejahtera tanpa dibebani masalah pengurusan strata," katanya ketika ditemui pada Majlis Semarak Aidilfitri anjuran DBKL di Institut Latihan DBKL di Bandar Tun Razak pada Khamis.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Ketua Setiausaha, Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Pada perkembangan sama, Mahadi turut mengulas isu tekanan air rendah dihadapi penduduk sebuah kondominium di Kampung Batu Muda, Sentul.

Beliau berkata, DBKL akan menghantar pegawainya untuk mengenal pasti punca permasalahan itu.

"Sekiranya perlu DBKL akan memberikan bantuan dengan menyediakan kemudahan pam air bagi menyalurkan air kepada unit yang terlibat," katanya.

Astro Awani pada Isnin lalu melaporkan keluhan penduduk perumahan bertingkat itu yang menghadapi masalah tekanan air rendah sejak tinggal di sana dua tahun lalu.

Paling terkesan adalah mereka yang tinggal di tingkat paling atas, tingkat 40 hingga tingkat 44 selain mendakwa, masalah itu berlaku selama dua minggu pada Ramadan lalu.