TNB tingkatkan hala tuju kelestarian melalui ladang angin luar pesisir

Sebuah kapal jack-up melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada satu daripada daripada lima
turbin angin luar pesisir Blyth 1 yang terletak di Blyth, Northumberland. (Gambar kiri), Ladang angin luar pesisir Blyth. (Gambar kanan)
Sebuah kapal jack-up melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada satu daripada daripada lima turbin angin luar pesisir Blyth 1 yang terletak di Blyth, Northumberland. (Gambar kiri), Ladang angin luar pesisir Blyth. (Gambar kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Vantage RE Ltd. (Vantage RE) meningkatkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) TNB dan sasaran sifar bersih dengan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), anak syarikat kepada sebuah syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF).

TNB dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, dimeterai pada 18 Oktober 2021, pengambilalihan itu menandakan kemasukan sulung TNB ke pasaran angin luar pesisir antarabangsa dengan BODL pada masa ini memiliki aset angin luar pesisir di luar pantai Blyth, Northumberland, England.

Menurut kenyataan itu, aset tersebut termasuk lima turbin dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 41.5MW (Blyth 1) dan hak pembangunan projek angin luar pesisir terapung sehingga 58.4MW (Blyth 2) yang terletak di luar pantai Northumberland.

"Lima turbin 8.3MW Blyth 1 dipasang dengan teras berasaskan graviti, yang menggunakan beban konkrit untuk memastikan turbin berada di tempatnya dengan selamat tanpa menembusi dasar laut.

"Ladang angin itu telah beroperasi sejak 2017 di bawah skim subsidi Renewable Obligation Certificate (ROC) yang dijangka memberikan pulangan stabil. Blyth 2 pula merupakan projek angin luar pesisir terapung inovatif yang kini dalam peringkat awal pembangunan.

"Pengambilalihan ini merupakan satu daripada pemerolehan strategik terancang untuk TNB mempercepatkan perjalanan melaksanakan visi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) globalnya," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pada tahun lalu, TNB mengumumkan Hala Tuju Kelestariannya, satu pelan tindakan dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

"Hala tuju tersebut disokong komitmen TNB mengurangkan 35% intensiti pelepasan karbon serta 50% daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Vantage RE dilancarkan pada 1 Julai 2021 untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset tenaga boleh baharu (RE) TNB di UK dan Eropah. Sehingga kini, ia telah mencapai portfolio RE sebanyak 530.4MW termasuk tenaga angin dalam dan luar pesisir serta ladang solar di negara tersebut.

"Sehingga Disember 2021, TNB mempunyai jumlah kapasiti RE sebanyak 3,487.2 MW termasuk 2,771.4MW di Malaysia dan 715.8MW di seluruh UK, Turki dan India, dan menyasarkan peningkatan kapasiti RE-nya kepada 8,300MW menjelang 2025," kata kenyataan itu.

Kombinasi RE TNB dalam negara adalah termasuk hidroelektrik dan ladang Solar Berskala Besar (LSS) dan TNB juga menawarkan solusi melepasi kWh seperti solusi solar atas bumbung, audit tenaga, dan pasaran digital untuk sijil RE.

Selain itu, TNB juga sedang mengkaji penggunaan teknologi baharu seperti sistem storan tenaga bagi meningkatkan fleksibiliti grid dan menangani isu kestabilan dalam RE.