Permaisuri Selangor gesa individu menzalimi haiwan disiasat

Tengku Permaisuri Norashikin menggesa mana-mana pihak yang menyaksikan perbuatan kejam terhadap haiwan peliharaan dan terbiar membuat laporan segera kepada pihak berkuasa.
Foto: FB Selangor Royal Office.
Tengku Permaisuri Norashikin menggesa mana-mana pihak yang menyaksikan perbuatan kejam terhadap haiwan peliharaan dan terbiar membuat laporan segera kepada pihak berkuasa. Foto: FB Selangor Royal Office.
A
A
A

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman menggesa pihak berwajib supaya menyiasat individu yang menzalimi binatang peliharaan dan terbiar, seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Baginda menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan beberapa kejadian baru-baru ini yang dilaporkan oleh media membabitkan kezaliman terhadap haiwan peliharaan dan terbiar.

Baginda yang juga Penaung Diraja Program Stray Free Selangor (SFS) di bawah kendalian Persatuan Kebajikan dan Perlindungan Haiwan (SPCA) Selangor menzahirkan rasa kecewa terhadap insan tidak berperikemanusiaan yang tergamak berlaku kejam terhadap haiwan secara terbuka.

Sehubungan itu, baginda bertitah menyarankan ahli masyarakat yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian seumpamanya supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Kezaliman terhadap haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015. Ia memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan tersebut, iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun).

"Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," titah baginda, pada Khamis.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin berharap kebajikan haiwan sentiasa diberi perhatian terutama keperluan persekitaran yang sesuai, dilindungi daripada ancaman penyakit serta keperluan mempamerkan corak kelakuan semula jadi.

Baginda juga menggesa masyarakat dan para sukarelawan penyelamat haiwan untuk mengkasi (neuter) kucing dan anjing terbiar agar haiwan itu tidak membiak dalam persekitaran tidak sesuai.