Penyokong Kedah sedia beri tekanan kepada JDT

Wakil-wakil Gabungan 32 Kelab Penyokong Kedah bergambar bersama semua pemain Kedah selepas sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.
Wakil-wakil Gabungan 32 Kelab Penyokong Kedah bergambar bersama semua pemain Kedah selepas sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kempen satu penyokong satu bendera oleh Gabungan 32 Kelab Penyokong Kedah mampu melonjakkan lagi semangat pasukan terutamanya dalam menghadapi JDT pada aksi Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman Jumaat ini.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, elemen sokongan penyokong kepada setiap pemain adalah penting malah ia merupakan salah satu sumber kekuatan dalam melonjakkan lagi motivasi pasukan.

Beliau memuji usaha yang telah digerakkan oleh pemain ke-12 Kedah itu dan mengakui penyokong adalah sebahagian daripada kejayaan dan kekuatan pasukan dan mengharapkan agar sokongan tersebut berterusan.

"Pasukan memang memerlukan penyokong-penyokong pada setiap perlawanan terutamanya dalam melonjakkan prestasi dan motivasi pemain di atas padang seperti aksi bertemu JDT, Pahang dan semua pasukan lain.

"Alhamdulilah, penyokong Kedah memang sentiasa memberikan sokongan kepada kami dari setiap perlawanan ke perlawanan yang lain," katanya kepada media selepas sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Sementara itu, wakil Gabungan 32 Kelab Penyokong Kedah, Mohd Azmi Abdullah berkata, kempen tersebut akan diadakan sepanjang tahun terutamanya membabitkan perlawanan di laman sendiri.

Menurutnya, beliau percaya aura stadium keramat Hijau Kuning akan lebih menyerlah apabila setiap penyokong mengibarkan bendera sepanjang perlawanan berlangsung dalam usaha memberikan tekanan kepada pemain lawan.

"Sokongan kami tidak berbelah bahagi dan ini adalah salah satu cara kami untuk membantu pasukan terutamanya dalam menaikkan moral-moral pemain. Ayuh semua penyokong Kedah kita bangkitkan lagi aura Darul Aman dengan kempen ini," katanya.

Artikel Berkaitan: