Jelajah MYStartup diadakan di Pulau Pinang dari 23-24 Mei

No Image Caption
A
A
A

JELAJAH MYStartup yang terdiri daripada program untuk memperkasakan ekosistem dan komuniti pemula niaga di Malaysia akan diadakan di Pulau Pinang dari 23 hingga 24 Mei 2022.

Dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya, Cradle Fund Sdn Bhd, jelajah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan komuniti pemula niaga yang terletak di luar Lembah Klang tidak dikecualikan daripada menyertai dan mendapat manfaat daripada acara pemerkasaan pemula niaga melalui Program MYStartup.

MOSTI dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, Jelajah MYStartup itu akan disertai oleh syarikat pemula niaga dari Pulau Pinang dan negeri jiran.

Ia akan menampilkan pemula niaga yang dijemput khas seperti Piktochart, Easy Parcel, Niagawan, Neptrix dan Havva Agrotech.

Kementerian itu berkata, sesi pemadanan perniagaan antara syarikat pemula niaga dan pelabur akan dianjurkan dalam usaha membantu syarikat baharu meningkatkan potensi mereka untuk mendapatkan pelaburan sambil mengembangkan rangkaian mereka antara pelabur dan syarikat baharu lain.

Jelajah itu akan disokong oleh komuniti dan rakan teknikal seperti Digital Penang, Invest Penang, Universiti Sains Malaysia, Microsoft Malaysia, Digital Nasional Bhd, SIRIM Bhd dan Future Lab. -Bernama