Pengembangan Ferrotec akan pacu pembangunan bakat tempatan

Mohamed Azmin - Foto Bernama
Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Ferrotec Holdings Corporation (Ferrotec) untuk menubuhkan fasiliti pembuatan berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park akan memacu pembangunan bakat tempatan dan mengukuhkan cadangan nilai Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah Ferrotec adalah bukti kesediaan bakat tempatan, kekuatan serta keupayaan ekosistem pembuatan dan perniagaan negara.

"Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 250 pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Malaysia. Sebagai syarikat peringkat pertama yang membuat pembekalan kepada firma multinasional dalam industri semikonduktor, syarikat itu komited untuk menyediakan latihan kepada pekerja Malaysia di kilang-kilangnya di Jepun dan Amerika Syarikat.

"Pelaburan ini akan membuka kemungkinan yang lebih besar kepada firma global lain di industri untuk menjejaki dan melabur di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, Ferrotec akan mendapat manfaat daripada tarikan kolam bakat Malaysia, persekitaran pelaburan yang positif termasuk kepelbagaian dalam rantaian bekalan yang akan membolehkan syarikat itu meningkatkan penawaran kepada pelanggan globalnya.

MIDA berkata, pada 2021, industri jentera dan peralatan (M&E) mencatatkan 48 projek yang diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.67 bilion daripada sumber asing dan domestik.

Projek-projek ini dijangka menjana 2,500 peluang pekerjaan dalam pengurusan, teknikal dan segmen yang berkaitan dengan kejuruteraan. - Bernama