Apabila semua barang naik harga

Ramai yang mendakwa isu kenaikan harga kini semakin meruncing.
Ramai yang mendakwa isu kenaikan harga kini semakin meruncing.
A
A
A

NAMPAKNYA bermula 1 Jun ini, golongan ibu-ibu kenalah terima hakikat bahawa kedai ‘berhantu' kegilaan mereka, Eco-Shop yang menjual pelbagai barangan dengan harga RM2.20 terpaksa menaikkannya kepada RM2.40.

Syarikat berkenaan memaklumkan, kenaikan itu terpaksa dibuat disebabkan faktor peningkatan kos yang perlu ditanggung mereka.

Sebenarnya bukan kali pertama kedai serbaneka itu menaikkan harga. Kali pertama pada 1 Disember lalu apabila kesemua barangan yang dijual dengan harga RM2.10 dinaikkan 10 sen kepada RM2.20. Bermula bulan depan, dinaikkan kepada RM2.40 pula.

Selain Eco-Shop, sebuah lagi kedai serbaneka, Ninso juga terpaksa mengikut langkah sama menaikkan harga kesemua barangannya daripada RM2.20 kepada RM2.30 mulai April lalu.

Kedua-dua kedai itu boleh dikatakan sebelum ini ‘penyelamat' kepada rakyat marhaen bagi mendapatkan harga murah. Namun, kalau barang di kedai sebegitu juga terpaksa menaikkan harga, apatah lagi kedai-kedai lain.

Hakikatnya, isu kenaikan harga barang terus membelenggu kita semua. Dari soal harga ayam yang tak selesai, kini harga sayur-sayuran juga naik. Selepas ini, apa pula. Bukan sekadar bahan mentah, tapi semua sektor juga nampaknya sudah mula berlumba-lumba menaikkan harga.

Ramai yang mendakwa isu kenaikan harga semakin meruncing dan ada laporan mengatakan harga barang keperluan dijangka naik sehingga 60 peratus. Paling menakutkan, mungkin membawa negara ke ambang krisis makanan.

Baru-baru ini, India membuat keputusan menghentikan eksport gandum dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan makanannya. Apabila negara itu menghentikan eksport gandum, sudah tentu harga tepung gandum akan turut naik.

Dilaporkan harga penanda aras komoditi itu telah melonjak sebanyak 5.9 peratus di Chicago.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi kenyataan Ketua Unit Komunikasi Korporatnya, Yunus Tasim sebelum ini menjelaskan, tindakan India yang menyekat eksport gandum tidak akan menjejaskan bekalan tepung gandum untuk kegunaan am di negara ini.

Ini kerana, katanya, Malaysia tidak mengimport gandum dari India sebaliknya 80 peratus bijian itu diimport dari Australia selain Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Walau apa kenyataan diberi ketika ini, ia tetap membuatkan rakyat resah. Perlu diakui bahawa kenaikan harga bahan mentah itu ada kesan rantaian yang panjang jika tidak ditangani dengan berkesan. Ia tidak akan berhenti.

Sudah pasti selepas ini harga makanan berasaskan gandum seperti roti, biskut pasta, mi dan roti canai yang merupakan menu sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia juga akan naik sama.

Buktinya sudah ada apabila harga ayam yang dulunya boleh dibeli dengan harga antara RM5 dan RM7.50 sekilo, kini mencecah sehingga RM12 sekilo. Ia berikutan kos makanan khususnya dedak ayam susulan harga import jagung yang naik.

Pada waktu begini pula Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Secara mudahnya apabila OPR naik, automatik bayaran ansuran pinjaman kepada bank akan naik. Kelayakan untuk membuat pinjaman baharu dengan pihak bank juga akan diperketatkan.

Walaupun pakar ekonomi menjelaskan, apabila OPR naik bermakna keadaan ekonomi negara makin pulih. Namun realitinya, rakyat terutama golongan B40 akan terus dibebani kos-kos hidup yang semakin meningkat.

Walaupun Malaysia mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan pasaran bebas, namun kerajaan perlu memainkan peranan secara holistik dalam isu harga barang supaya tidak dimanipulasi peniaga.

Kerajaan bukan saja perlu mendengar dan menjawab keluhan rakyat, tetapi lebih penting bertindak pantas dan tegas.

Kalau bukan kepada kerajaan untuk rakyat bergantung harap, kepada siapa lagi perlu diharapkan?

* Syamilah Zulkifli ialah Wartawan Sinar Harian