X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Perkeso lancar Ops Cegah, tingkat kesedaran budaya elak kemalangan

Ops Cegah pada tahun ini akan dilaksanakan secara bersepadu di semua 54 pejabat Perkeso di seluruh negara termasuk Ibu Pejabat.
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan program Ops Cegah Peringkat Kebangsaan 2022 dengan pendekatan lebih mesra bagi meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk mengamalkan budaya pencegahan kemalangan pekerjaan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, inisiatif itu adalah program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang menggunakan pendekatan ‘soft approach’ bagi mencegah kemalangan industri dan perjalanan.

Menurutnya, berbeza dengan program lain, modus operandi Ops Cegah dilaksanakan dengan mengadakan lawatan ke premis majikan untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi perusahaan.

“Berdasarkan rekod Perkeso, majikan-majikan tersebut telah dikenal pasti sebagai organisasi yang merekodkan kemalangan tertinggi berdasarkan senarai Top 100 di seluruh negara dan Top 20 di kawasan mereka beroperasi, pada tahun 2021.

“Ops Cegah pada tahun ini akan dilaksanakan secara bersepadu di semua 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, termasuk Ibu Pejabat bersama dengan rakan-rakan strategik lain dengan mengadakan lawatan ke 1,060 premis majikan yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengangkat tema ‘Kebersamaan Menangani Kemalangan Pekerja’, program itu akan dilaksanakan selama 15 hari bermula 17 hingga 31 Mei ini di seluruh negara.

Tambah Mohammed Azman Aziz, program itu melibatkan pendekatan untuk memberi maklumat dan panduan kepada pengurusan tertinggi syarikat bagi menerap dan mengamalkan amalan serta langkah-langkah pencegahan kemalangan pekerjaan kepada pekerja.

Katanya, ia juga bermatlamat memberi kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pengurusan syarikat atau majikan bagi menyediakan suasana tempat kerja yang selamat kepada pekerja.

“Selain itu, ia juga memberi panduan kepada majikan dan pekerja mengenai amalan terbaik dan berkesan dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, ketika dalam perjalanan serta aktiviti pekerjaan yang berkaitan jalan raya.

“Program ini turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan budaya pencegahan sebagai asas perlindungan sosial kepada majikan dan pekerja,” ujarnya.

Justeru, Perkeso berharap agar pendekatan baharu menerusi Ops Cegah itu dapat meningkatkan lagi kesedaran majikan berhubung isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja serta semasa perjalanan.

“Seterusnya membentuk budaya pencegahan di setiap perusahaan yang dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan dalam kalangan pekerja mereka.

“Seperti yang telah saya tekankan berkali-kali, usaha pencegahan kemalangan ini bukanlah suatu kos, sebaliknya merupakan suatu pelaburan yang akan menguntungkan majikan untuk jangka masa panjang,” jelas beliau.

Untuk makluman, penganjuran Ops Cegah pada tahun ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada beberapa rakan strategik seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!