Nasib Paul Yong diketahui 29 Jun

Paul Yong turut hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini pada Selasa.
Paul Yong turut hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh keputusan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Penetapan tarikh tersebut dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas mendengar hujahan terakhir pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pasukan pembelaan yang diketuai Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir pada 31 Mac lalu menutup kes selepas memanggil tiga saksi iaitu Paul Yong dan isteri, Chor Pei Sun, 47, serta bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.

Mahkamah sebelum ini memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 25 April, dan memfailkan jawapan balas pada 9 Mei.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan bekas Exco Kerajaan negeri Perak itu membela diri terhadap tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.

Perintah itu dikeluarkan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.