Pas kekal bersama Bersatu di bawah PN: Muhyiddin

Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.5/2022 di Kementerian Kewangan pada Selasa. - Foto Bernama
Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.5/2022 di Kementerian Kewangan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Pas masih kekal bersama dengan parti itu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Bersatu tidak akan menghalang sebarang usaha dan strategi yang dilakukan oleh Pas kerana berpegang kepada prinsip penyatuan ummah.

"Kita masih dalam PN. Tapi tidak mengapa, kita tidak menghalang mereka," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) dekat sini, pada Selasa.

Jelas Muhyiddin, dalam pertemuannya bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada hari raya baru-baru ini, parti itu menyatakan telah istiqamah dalam PN.

"Pas hendak lakukan, ada usaha tertentu tidak mengapalah...Akan sampai tahap nanti ada keputusan muktamad. Jadi tak jadi dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa parti itu tidak akan berputus asa untuk pertahankan hubungan dengan UMNO menerusi kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Awal bulan ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mustahil MN diteruskan jika Pas terus memperlihat sikap talam dua muka.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN akan duduk semeja dengan parti-partinya bagi membincang langkah terbaik.

"Dahulu pun cuba untuk masuk MN tetapi ditolak walaupun tidak dijawab secara rasmi.

"Jadi ini usaha Pas, sama ada itu akan berhasil atau tidak, Wallahualam," katanya.