Pekerja kontraktor sambilan ditahan disyaki dera kanak-kanak lelaki

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja kontraktor sambilan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Pandan Perdana pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di Jalan Besar Taman Dagang di sini pada jam 5.40 petang Isnin.

"Suspek adalah kawan kepada bapa mangsa yang diminta untuk menjaga kanak-kanak itu kerana ibu bapa kandungnya ditahan di penjara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah dan satu rekod jenayah komersial.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang esok bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan," ujarnya.

Pada Ahad, media melaporkan, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki yang terdengar tangisan kanak-kanak itu pada jam 1 petang.

Pengadu mendapati kesan kecederaan di muka dan badan kanak-kanak itu, sebelum ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Kanak-kanak itu dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.

Mohamad Farouk memaklumkan, kes itu disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001.