'Nak PRU semua rasa layak jadi calon'

Zainol Fadzi
Zainol Fadzi
A
A
A

IPOH - Sebarang urusan mengenai pencalonan kerusi-kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sehingga kini sama ada Bersatu negeri mahupun Perikatan Nasional (PN) Perak tidak ada senarai calon diumumkan sama ada bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Menurutnya, sehingga kini soal kerusi dan calon masih di peringkat perbincangan dengan parti-parti komponen.

"Biasalah, bila tiba nak pilihan raya, ramai yang nak jadi calon. Ramai orang yang merasakan dia layak jadi calon tak kiralah kawasan itu ada penyandang atau tidak, bukan di dalam parti Bersatu saja tetapi parti lain pun sama.

"Tindakan (umum jadi calon) yang diambil itu adalah langkah awal untuk mempromosikan diri untuk melihat respon penduduk, respon pimpinan dan pengundi tetapi akhirnya yang membuat keputusan adalah pimpinan parti," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak di pekarangan Pejabat PPPKM negeri, di sini pada Isnin.

Zainol Fadzi berkata, persoalan mengenai calon Parlimen di luar pengetahuannya kerana tanggungjawab sebagai Setiausaha PN Perak hanya tertumpu kepada rundingan kerusi DUN.

Dalam laporan media pada 14 Mei lalu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui kerusi Parlimen Bagan Serai dalam senarai pilihannya untuk ditandingi pada PRU15 nanti.

Menurut beliau, usaha menyantuni dan mendekati pengundi di kawasan berkenaan telah aktif digerakkan sejak dua tahun lalu termasuk memberikan bantuan semasa pandemik Covid-19 dan banjir.

Pemuda Pas Kawasan Bagan Serai sebelum ini menerusi satu memorandum mendesak PN memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai pada PRU15.

Tuntutan itu berasaskan fakta-fakta kukuh kerana antaranya Pas kawasan mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak berbanding parti gabungan lain.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai ketika ini adalah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali daripada parti Bersatu.