'Bagan Serai dalam senarai saya'

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui, kerusi Parlimen Bagan Serai dalam senarai pilihannya untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut beliau, usaha menyantuni dan mendekati pengundi di kawasan berkenaan telah aktif digerakkan sejak dua tahun lalu termasuk memberikan bantuan semasa pandemik Covid-19 dan banjir.

"Bagan Serai ini kampung ibu saya dan dari segi kecenderungan serta fokus saya, memang Bagan Serai dalam senarainya dan kalau-kalau diberi ruang jadi calon di sini, saya tiada aral melintang untuk berkhidmat.

"Sebagai Ketua Pemuda Bersatu Nasional, saya berhak bertanding di mana-mana sahaja di seluruh Malaysia, semua kerusi Parlimen boleh bertanding kalau parti izinkan," katanya kepada pemberita sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Simpat Ampat Semanggol pada Sabtu.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu bagaimanapun menjelaskan, pembahagian kerusi dan calon masih dalam peringkat perbincangan Perikatan Nasional (PN) bersama rakan komponen termasuk Pas.

Katanya, sebelum ini terdapat desakan kepada PN agar kerusi berkenaan diserahkan kepada Pas dan pihaknya menghormati pandangan serta pendirian tersebut.

"Saya mengiktiraf kekuatan Pas di Bagan Serai kerana parti itu sudah mempunyai satu blok undi yang kukuh setiap kali pilihan raya.

"Begitupun saya rasa Bersatu pun ada kelebihan sendiri yang boleh dimanfaatkan bersama Pas selaku rakan komponen dengan menawarkan calon dalam kalangan anak muda berpendidikan tinggi dan memahami suasana silang budaya masyarakat di sini.

"Mungkin jika ada calon sebegini sama ada di peringkat Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri), Bagan Serai boleh jadi satu kawasan yang melahirkan pemimpin nasional," katanya.

Pada Mac lalu, Pemuda Pas Kawasan Bagan Serai menerusi satu memorandum mendesak PN memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai pada PRU15.

Tuntutan itu berasaskan fakta-fakta kukuh kerana antaranya Pas kawasan mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak berbanding parti gabungan lain.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai ketika ini adalah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali daripada parti Bersatu.