Peniaga rayu ruang niaga di PKD Napoh

Kawasan di persimpangan lampu isyarat pekan Napoh yang menjadi lokasi peniaga tempatan mencari rezeki..Gambar kecil: Ismail Othman menunjukkan notis bertarikh 27 April yang mengarahkan peniaga berpindah dalam tempoh 14 hari.
Kawasan di persimpangan lampu isyarat pekan Napoh yang menjadi lokasi peniaga tempatan mencari rezeki..Gambar kecil: Ismail Othman menunjukkan notis bertarikh 27 April yang mengarahkan peniaga berpindah dalam tempoh 14 hari.
A
A
A

KUBANG PASU - Peniaga di pekan Napoh di sini merayu kepada pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) agar menempatkan mereka di kawasan Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh selepas diarahkan berpindah.

Peniaga, Ismail Othman, 54 berkata, dia berniaga air di kawasan terbabit sejak 11 tahun lalu sebelum menerima notis pada 27 April lalu untuk berpindah.

Menurutnya, peniaga diarahkan untuk mengalihkan gerai mereka dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis terbabit.

"Ikutkan notis itu kami dikatakan duduk di atas tanah kerajaan (simpanan laluan), jadi kami perlu segera berpindah.

"Tetapi kami sekarang buntu, tidak tahu ke mana hendak dituju sebab tiada lokasi lain yang berdekatan kecuali di PKD Napoh," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Menurutnya, rata- rata peniaga di situ hanya bergantung kepada aktiviti perniagaan sebagai pendapatan utama keluarga.

"Ada yang anak menantu turut berniaga sekali, jadi keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan punca rezeki mereka," katanya.

Peniaga ikan, Ismail Hashim, 54, berkata, dia berharap mempunyai tempat yang bersesuaian untuk berniaga memandangkan tidak mempunyai lokasi lain untuk berpindah dalam masa terdekat.

"Lebih 30 tahun saya berniaga di sini, bila tiba-tiba dapat notis kena pindah saya jadi buntu, tempoh notis pula pendek sangat tak sempat buat persediaan," katanya.

Ismail menambah, dia berharap pihak KEDA dapat memberi kerjasama untuk menyediakan tempat berniaga yang sesuai kepada peniaga di PKD Napoh.

"Di situ saja harapan kami, di pekan Napoh ini tak ada tempat lain yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib berkata, pihak KEDA bersedia menawarkan penyewaan di lot-lot di PKD Napoh.

"Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada kekosongan dan mengikut syarat- syarat penyewaan yang telah ditetapkan oleh KEDA dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ini kerana PKD Napoh masih dalam proses untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh PBT," katanya.