Pas, UMNO tidak perlu hipokrit bicara isu penyatuan ummah

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Pas dan UMNO diingatkan agar tidak hipokrit dalam membicarakan isu penyatuan ummah jika mereka sendiri gagal menanganinya.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim berkata, soal penyatuan ummah yang sebenar juga bukan hanya milik dua parti berkenaan.

"Kita kena faham satu, mereka hendak bersatu contohnya di Selangor, Pas ajak UMNO hendak bekerjasama.

"Saya hendak tanya adakah perpaduan Melayu Islam (penyatuan ummah) ini orang Pas dan orang UMNO sahaja.

"Orang Amanah ini bukan orang Islam ke? Orang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan ke? Dalam DAP pun ada orang Islam.

"Kalau betullah hendak beri mesej majlis perpaduan bersama kena panggil semualah," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Izham berkata, di negeri lain Pas dan UMNO tidak sehaluan namun di Selangor mereka mahu bekerjasama yang kononnya di atas nama perpaduan.

"Di tempat lain, di negeri lain mereka bergaduh, di Selangor ini kononnya perpaduan, apa mesej yang mahu dibawa saya pun tak faham," katanya yang juga Exco Kerajaan Selangor.

Pada 11 Mei lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, Pas tidak mempunyai sebarang masalah meneruskan kerjasama politik dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, parti itu masih berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura, iaitu memperkukuhkan MN dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) demi memperkukuhkan politik umat Islam dan Melayu di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan, pihak yang cuba mengganggu-gugat gagasan berkenaan memberhentikan perbuatan mereka kerana ia akan hanya menyebabkan usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu di negara ini terjejas.