Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital meningkat 38 peratus

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan melibatkan hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam meningkat sebanyak 38 peratus bagi setiap 100,000 penduduk secara keseluruhan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 berbanding sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat sebanyak 100 peratus.

“KKM menjangkakan kenaikan kes selepas Hari Raya (Aidilfitri) yang disambut meriah pada minggu lalu.

“Jumlah pesakit kategori satu dan dua meningkat sebanyak 100 peratus iaitu daripada satu per 100,000 penduduk kepada dua per 100,000 penduduk.

“Jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima juga meningkat sebanyak 100 peratus iaitu daripada satu per 100,000 penduduk kepada dua per 100,000 penduduk,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 18/2022 dan ME 19/2022 menunjukkan bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 87.4 peratus.

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 153.4 peratus.

“Kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 28.2 peratus,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, survelan Covid-19 telah dijalankan sepanjang pandemik dan masih diteruskan semasa Fasa Peralihan ke Endemik di beberapa klinik kesihatan sentinel dan hospital sentinel di seluruh negara.

Tambah beliau, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara sehingga ME 19/2022 mendapati kadar positif sampel ‘Influenza-Like Illness’ (ILI) bagi Covid-19 meningkat iaitu 6.3 peratus pada ME 18/2022 kepada 7.5 peratus pada ME 19/2022.

“Survelan Covid-19 ini dijalankan ke atas sampel pesakit yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan yang ringan atau teruk.

“Melihat kepada peningkatan yang mendadak kepada hampir ke semua indikator-indikator berkaitan Covid-19, KKM ingin terus memperingat, menyeru dan menasihatkan semua penduduk Malaysia untuk sentiasa mengikuti nasihat-nasihat yang disarankan oleh kerajaan bagi mengawal dan mencegah penularan jangkitan Covid-19 dalam fasa peralihan ke endemik ini,” kata beliau.