Pemilihan PKR 2022: Ahli keluar mengundi terlalu rendah setakat ini

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah ahli parti yang keluar mengundi secara fizikal pada Pemilihan PKR 2022 yang memasuki hari ketiga masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan pemilihan pada 2018, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa.

Tanpa mendedahkan peratusan mengundi setakat ini, beliau berkata jumlah itu dijangka meningkat ketika hari pengundian dalam talian dari 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi ADIL dan di Selangor serta Sabah kerana kedua-dua negeri mempunyai ahli PKR yang ramai.

"Setakat ini, ahli parti yang keluar mengundi di Terengganu, Kelantan, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Pahang memang kurang.

"Kesemua negeri juga mempunyai ahli parti yang sederhana dan rendah," katanya kepada Bernama di pusat pengundian cabang Wangsa Maju, pada Ahad.

Mengulas kenyataan calon Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli berhubung masalah teknikal di beberapa kawasan termasuk membabitkan peranti, Dr Zaliha berkata, JPP akan meneliti isu itu yang berlaku ketika proses pemilihan secara fizikal.

Beliau berkata, jawatankuasa teknikal sentiasa memantau sistem yang terlibat dan menjelaskan tiada keperluan untuk menangguhkan pemilihan kali ini akibat masalah teknikal setakat ini.

Sebelum itu, Rafizi berkata, beliau akan menulis surat rasmi kepada JPP meminta masalah teknikal ketika proses pemilihan secara fizikal parti itu diselesaikan dengan segera.

Menyentuh proses pengundian hari ini, Dr Zaliha berkata, proses di Wilayah Persekutuan yang melibat 14 cabang termasuk Labuan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit 'ketegangan' di tiga kawasan panas iaitu Wangsa Maju, Batu dan Bandar Tun Razak.

Beliau turut memaklumkan 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan PKR 2022.

Di Pahang Koordinator JPP Pahang Wong Ming Hui berkata, 14 cabang iaitu Bentong, Bera, Cameron Highlands, Indera Mahkota, Jerantut, Kuala Krau, Kuantan, Lipis, Maran, Paya Besar, Pekan, Raub, Rompin dan Temerloh terlibat dalam pemilihan yang bermula 8.30 pagi hingga 5 petang itu.

"Pemilihan hari ini lancar dan tenang malah di setiap pusat pengundian juga mempunyai pengawas pemilih yang akan memantau proses pengundian sepanjang ia berlangsung.

"Pengundi secara fizikal dan dalam talian sama banyak dengan ahli di kawasan pedalaman serta berusia dilihat cenderung melakukan pemilihan secara fizikal,” katanya.

Pengundian bagi Pemilihan PKR 2022 akan diteruskan esok di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan manakala pengundian di Selangor berlangsung pada 21 Mei.

Ahli parti di Perak, Sabah dan Sarawak pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 22 Mei manakala pengundian secara dalam talian bagi ahli PKR di luar negara diadakan pada 17 Mei dan undian dalam talian bagi ahli parti selebihnya dari 18 hingga 20 Mei. - Bernama