Orang awam diminta berhati-hati beri komen terhadap tugas polis

Tangkap layar yang memaparkan hantaran tular di laman sosial mengenai kejadian polis menahan seorang individu di bandar raya ini pada Sabtu
Tangkap layar yang memaparkan hantaran tular di laman sosial mengenai kejadian polis menahan seorang individu di bandar raya ini pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Daerah Johor Bahru Utara menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhemah dan tidak mudah mengeluarkan komen atau menularkan cerita tanpa meneliti sebarang kesahihan.

Difahamkan, teguran itu merujuk kepada satu hantaran berupa rakaman video yang tular di laman sosial pada Sabtu memaparkan komen seorang pengguna atas tindakan polis daerah itu yang sedang melakukan pemeriksaan terhadap seorang individu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pegawai dan anggota polis mempunyai kebenaran untuk menahan mana-mana individu dan memeriksa kad pengenalan mereka ketika bertugas.

Katanya, kebenaran itu tertakluk kepada Seksyen 24(1)(a) Akta Polis 1967 dan Seksyen 7(1) Akta Pendaftaran Negara 1959.

“Pada jam 5.30 petang semalam, anggota ronda cegah jenayah telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap seorang individu yang menaiki sebuah kereta di Jalan Pendekar 16, Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

“Individu itu juga dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut, namun dibebaskan sejurus pemeriksaan itu. Bagaimanapun rakaman mengenai penahanan ini telah tular di laman sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Rupiah berkata, penjelasan ini juga dibuat bagi memberi maklum balas berkenaan rakaman video yang tular tersebut sekali gus memberi ingatan kepada orang awam untuk berhemah sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Polis menyeru orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memberikan komen atau menularkan cerita tanpa kesahihan di media sosial,” katanya.