Tambang ECRL setara dengan kereta api sedia ada: Ka Siong

Wee Ka Siong. - Foto Bernama
Wee Ka Siong. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar tambang Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan ditentukan kelak setara dengan kadar tambang perkhidmatan kereta api sedia ada yang dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan kadar tambang sedia ada, ia adalah amat berpatutan dan mesra rakyat.

Tambahnya, berkenaan unjuran trafik muatan kargo dan penumpang ECRL, ia telah dikaji oleh pihak perunding bertauliah yang mempunyai kepakaran untuk mengumpul data dan menjalankan kajian bagi merumuskan unjuran trafik tersebut.

“Melalui pengumpulan data dan kajian pihak perunding, ECRL mampu menjana trafik penumpang dan kargo yang tinggi memandangkan jajaran ECRL yang melalui kawasan industri berat dan hab pembuatan yang dihubungkan dengan pelabuhan-pelabuhan utama negara.

“Selain itu, perkhidmatan penumpang juga turut menunjukkan permintaan yang tinggi memandangkan jajaran yang melalui bandar-bandar utama di Pantai Timur.

“Maka itu, ECRL akan dapat menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih baik selain kos yang berpatutan kepada penduduk khususnya di Pantai Timur,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, keputusan mengenai landasan 'single-track' ECRL dibuat pada tahun 2019 semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan.

Menurutnya, perunding pembinaan projek ECRL telah merumuskan bahawa landasan 'single-track' adalah memadai untuk unjuran trafik muatan kargo dan penumpang ECRL sekurang-kurangnya dalam 10 tahun pertama operasinya.

“Pembinaan sembilan 'passing loop' di sepanjang jajaran ECRL akan membolehkan pengendalian tren dua-hala di antara Pantai Timur dan Lembah Klang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, MRL turut giat merangka dan melaksanakan pelan jangka panjang untuk menjana pendapatan yang mencukupi bagi menampung kos operasi syarikat.

Ujarnya, sebarang keuntungan dari operasi tren dan perniagaan sampingan MRL akan dapat digunakan untuk membayar balik sebahagian daripada tanggungan pinjaman projek ECRL.

“Manfaat yang mampu dijana oleh projek ECRL ialah melalui 'value-capture' keseluruhan projek ini iaitu pembangunan ekonomi yang pesat di negeri-negeri Pantai Timur apabila kemudahan rel disediakan dan kos pengangkutan kargo dari dan ke Pantai Timur menurun sehingga 40 hingga 50 peratus.

“Ini akan meningkatkan daya saing negeri-negeri Pantai Timur dan mewujudkan lebih banyak industri baharu yang dijangka menjana pendapatan melalui cukai-cukai kepada kerajaan seterusnya dikembalikan kepada rakyat.

“Apakah pihak pembangkang mahu menafikan peluang ini kepada negeri-negeri Pantai Timur? Adakah sumber pendapatan dan limpahan ekonomi ini diklasifikasikan sebagai satu bentuk ‘penindasan’ dalam pemikiran pemimpin pembangkang?,” soalnya.

Selain itu, Ka Siong berkata, dakwaan hak milik atau pemilik utama kepada projek infra rakyat itu sengaja dicetuskan sebagai satu propaganda berniat jahat sebagaimana naratif sesetengah pihak sebelum ini berhubung projek pembangunan Forest City, usahasama Proton-Geely.

“Naratif mereka, negara asing menguasai aset Malaysia, aset negara digadai dan kedaulatan negara diceroboh. Ini bukan sahaja fitnah tetapi juga memburukkan imej Malaysia bagi kaca mata masyarakat dunia, lebih buruk ia menghakis kepercayaan pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

“Untuk makluman, pihak Malaysia Rail Link (MRL) sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (Inc.)] telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi menubuhkan syarikat usahasama dengan pemilikan 50:50 untuk dilantik sebagai Operator ECRL.

“Sebagai operator, syarikat usahasama ini akan menjalankan pengurusan, operasi dan penyenggaraan keseluruhan perkhidmatan ECRL. Melalui MoU ini, 80 peratus daripada keuntungan operasi akan dimiliki MRL dan bakinya dimiliki CCCC.

“Sebarang kerugian operasi akan ditanggung bersama 50:50. Ini membuktikan keyakinan pihak dari negara China ke atas prospek keuntungan operasi ECRL yang akan menjamin kualiti dan kelestarian perkhidmatannya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, spekulasi mengenai pemindahan milik aset dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL kepada negara China adalah tidak berasas sama sekali.

“Aset ECRL adalah 100 peratus milik kerajaan Malaysia melalui MRL dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL adalah rizab kereta api yang tidak boleh dipindah milik.

“Pelan pembayaran balik kos pinjaman projek kepada bank milik kerajaan China juga langsung tidak melibatkan pemindahan aset ECRL atau tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL.

“Ditegaskan bahawa MRL adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala syarikat CCCC adalah kontraktor utama,” ujarnya.

Tegas Ka Siong, beliau tidak mampu mengubah tanggapan sesetengah pihak yang tetap dengan pendiriannya walaupun ia songsang, tidak tepat dan jauh terpesong daripada realiti.

“Saya di sini hanya menjelaskan perkara sebenar bersandarkan fakta. Saya sedaya upaya memberi penjelasan yang mudah difahami semua pihak.

“Saya juga sentiasa terbuka menerima pandangan mahupun kritikan membina daripada sesiapa sahaja, bukannya dengan cara membuat tuduhan berbaur fitnah atau meneruskan propaganda berniat jahat hanya kerana perbezaan politik yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.