Nahas lima rentung: Adik mahu tunai hasrat arwah abang jadi guru

A
A
A

JOHOR BAHRU - Adik kepada seorang daripada lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada tengah malam Rabu mahu menunaikan hasrat abangnya menjadi seorang guru.

Iqbal Hamdi Halimi, 19, berkata, dia berhasrat mengajar dan menabur khidmat bakti sebagai guru di Johor seperti diimpikan arwah abangnya Iqbal Hasnun, 23.

"Abang umpama tonggak keluarga bukan sahaja penyayang namun sering menjadi contoh kepada adik-adiknya.

"Malah sebelum ini, arwah selalu menyatakan mahu mengajar di sekolah lamanya dan kerap menasihatkan kami sentiasa bertanggungjawab menjaga ibu bapa termasuk mengamalkan bertanya khabar keluarga," katanya ketika ditemui Bernama pada Sabtu.

Katanya, meskipun remuk hatinya kerana terlalu rapat dengan abang sejak dari kecil tetapi Iqbal Hamdi tetap reda dengan pemergian arwah yang disifatkan berperibadi baik dan disenangi ramai.

Seorang lagi adik Iqbal Hasnun, Aisya Humaira, 4, sering mengungkapkan bahawa abangnya kini berada di syurga dan kadangkala menangis memanggil nama arwah.

Sebelum itu, jenazah Iqbal Hasnun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Melayu Seelong di sini 7.30 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam Rabu itu, lima penuntut USAS yang menaiki kereta Honda City maut apabila kenderaan dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan bersama dua treler di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Kuala Kangsar, Perak.

Kenderaan itu dipandu Muhammad Nasrun Aidol, manakala Ahmad Naim Najmi duduk di bahagian penumpang hadapan manakala Muhammad Nabil Haikal, Iqbal Hasnun dan Ahmad Akmal duduk di bahagian penumpang belakang. - Bernama