X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Restoran caj harga tidak munasabah diberi notis

Dua pengusaha restoran di MITC Ayer Keroh yang dipercayai mengambil kesempatan mengenakan harga tidak munasabah kepada pelanggan dikenakan notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011.
A
A

MELAKA - Dua pengusaha restoran di MITC Ayer Keroh yang dipercayai mengambil kesempatan mengenakan harga tidak munasabah kepada pelanggan dikenakan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pasukan penguat kuasanya melakukan operasi mengejut di restoran terbabit selepas menerima aduan mengenai harga menu sarapan pagi yang tinggi.

Menurutnya, hasil semakan mendapati salah sebuah premis iaitu yang menjual nasi campur bukan pertama kali melakukan kesalahan mengenakan caj harga makanan yang tidak munasabah.

Malah katanya, pengusaha terbabit berulang kali melakukan kesalahan sama dan pernah dikenakan kompaun.

"Kita akui peniaga berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah 10 hingga 50 sen namun tidaklah sehingga membolehkan mereka menaikkan harga sekitar RM2 hingga RM3.

"Contoh bagi menu bihun kosong dan ayam yang dipotong kecil sepatutnya dikenakan caj RM5 hingga RM5.50 namun ini mencecah harga RM10.

"Restoran itu telah diberikan notis bertulis untuk memberikan penjelasan kenaikan caj harga makanan itu dalam tempoh tujuh hari sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan itu adalah cubaan peniaga untuk menaikan harga dengan alasan kenaikan kos bahan mentah terlalu tinggi.

Ujarnya, pihaknya akan meneruskan pemantauan untuk memastikan peniaga makanan bertimbang rasa dan tidak mengambil kesempatan kepada pengguna lebih-lebih lagi dengan kehadiran pelancong ramai ke negeri ini sejak fasa peralihan ke endemik.

"Bukan sahaja peniaga terkesan akibat pandemik Covid-19 malah pengguna juga terkesan tapi itu bukan alasan untuk mereka caj harga makanan yang tinggi," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!