Jadikan tragedi Terowong Menora yang terakhir

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemalangan yang mengorbankan lima nyawa dalam kejadian di kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora kelmarin menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan faktor kecuaian.

Selepas video kemalangan itu tular, ramai yang mengandaikan ianya berpunca daripada cara pemanduan dan isu teknikal kenderaan mereka yang terlibat.

Malah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sendiri melakukan siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

Ini bermakna siasatan akan dibuat menyeluruh bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Jika hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali lori gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, tindakan gantung atau batal permit dan lesen pengendali boleh dilakukan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Terbaharu, semakan menerusi pengkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler berusia 28 tahun terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang telah selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Apa sekalipun keputusannya, hukuman berat menanti mereka yang bertanggungjawab dengan kemalangan tersebut.

Sudah acapkali tragedi seperti ini berlaku dan ia masih terus berlaku bukan disebabkan penguatkuasaan yang longgar tetapi kelalaian syarikat pengendali yang tidak mementingkan aspek keselamatan.

Justeru, penguatkuasaan lebih tegas ditagih bagi memastikan isu ini tidak berulang malah pengendali perlu memastikan kenderaan mereka berada pada tahap yang baik sebelum memulakan perjalanan.

Sikap mementingkan keuntungan sesetengah syarikat pengendali sehingga sanggup abai aspek penyelenggaraan kenderaan juga dilihat menjadi punca kemalangan boleh berlaku setiap hari.

Sudahnya disebabkan sikap tamak itu juga nyawa yang tidak berdosa melayang tanpa diduga.