WaQaf 365 pertingkat dana wakaf di Perak

Sultan Nazrin menyempurnakan gimik pelancaran WaQaf 365 di Hotel Impiana di sini pada Jumaat.
Sultan Nazrin menyempurnakan gimik pelancaran WaQaf 365 di Hotel Impiana di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui anak syarikatnya, PKEINPK Sdn Bhd (PSB) melancarkan program WaQaf 365 sebagai usaha mempertingkatkan dana wakaf di negeri ini.

Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif PSB, Abd Rahman Bin Abdullah Thani berkata, program berkenaan diperkenalkan untuk membolehkan umat Islam berwakaf secara tunai sepanjang tahun dengan teknologi atas talian melalui sistem Infaq-Pay.

Menurutnya, program tersebut memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berwakaf berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.

"Kita dipertanggungjawabkan oleh MAIPk untuk meningkatkan dana Wakaf Tunai Am sedia, jadi melalui program ini kita akan bantu menambah dana berkenaan.

"PSB menyasarkan 10,000 pewakaf dalam masa setahun dengan nilai kutipan sebanyak RM3.6 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian berkenaan.

Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Amanah Lil Wakaf turut dilancarkan bersama rakan-rakan strategik iaitu syarikat-syarikat takaful, amanah dan pengurusan pusaka untuk mempelbagaikan saluran untuk berwakaf.

Pada majlis sama turut diadakan penyerahan replika cek kepada peserta skim Rancangan Tanaman Berkelompok (RTB).

Menurutnya, PSB mempunyai tiga teras perniagaan iaitu dalam bidang perladangan, pengurusan Kesihatan dan pembangunan hartanah, selain tugas baharu membantu MAIPk meningkat kutipan Wakaf Tunai Am dan melabur dana wakaf tersebut.