Saran kerajaan semak semula undang-undang lapuk: Azalina

Azalina (kanan) bersama Onn Hafiz (dua dari kanan) ketika memberikan duit raya kepada pengunjung yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dewan Kejora di sini, pada Jumaat.
Azalina (kanan) bersama Onn Hafiz (dua dari kanan) ketika memberikan duit raya kepada pengunjung yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dewan Kejora di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan terdapat keperluan untuk kerajaan meneliti semula beberapa undang-undang di negara ini yang dilihat sudah lapuk ditelan peredaran masa.

Beliau berkata, perkara itu bagi membolehkan sistem pentadbiran negara berkembang maju di sebalik sistem perundangan negara yang lebih efisyen dan dikemas kini.

“Saya akan bercakap dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kita ini ke arah tahun 2022, 2023... banyak undang-undang lapuk kena tengok semula.

“Banyak undang-undang di zaman Kolonial British, kita kena tengok perubahan zaman, jadi perkara ini kena ubah.

Kena betul-betul buat penilaian supaya Parlimen yang membuat undang-undang itu lebih progresif, ini harapan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dewan Kejora, Bandar Penawar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Azalina yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri berkata, perkara itu juga akan menjadi asas terbaik akan dibincangkan selepas Rang Undang Undang Anti Lompat Parti berjaya digubal.

“Saya lihat kerajaan hari ini banyak berkompromi atas membuat satu keputusan dan perubahan.

Itu pendekatan yang baik.

"Harap selepas lompat parti, kita boleh bercakap tentang dana politik dan banyak bercakap tentang tanggungjawab ahli Parlimen, itu semua kita kena kaji,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya yakin perkara mengenai Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan diselesaikan sepenuhnya sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kerajaan bercakap mengenai lompat parti supaya rakyat tahu apa yang diundi itu yang mereka dapat, kalau orang tu (ahli Parlimen) lompat, atas apa sebab?

Kerusi itu perlu dipertandingkan semula la.

“Bagi saya ini pendekatan lebih adil, supaya tidak rasa tertipu.

Saya melihat isu lompat parti ini sebagai positif terutama di bawah kerajaan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ismail Sabri, ia mempunyai realisasi bahawa berhadapan dengan PRU15 ini kita mesti sediakan pengundi satu komitmen bahawa undi mereka berharga.

“Saya tak nak pengundi rasa bila dia undi A, katak tu lompat dia dapat B.

Orang marah kan, itu sebab kerajaan bersungguh-sungguh dalam perkara ini,” katanya.

Beliau juga berharap dalam sidang Parlimen terdekat ahli dewan dapat membuat pindaan di bawah Perkara 10 dan Perkara 48 terlebih dahulu di bawah Undang-Undang Anti Lompat Parti.