BN kaji strategi pertahan 21 kerusi DUN Melaka

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) menjalankan kajian dari pelbagai sudut bagi merapatkan jurang antara kerajaan dengan rakyat dalam usaha mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan pilihan raya lalu tidak boleh dijadikan ukuran bagi pilihan raya akan datang berikutan pertambahan pengundi dan perubahan landskap politik.
“Politik ini dinamik. Kita tak boleh ambil perkara yang lepas sebagai ukuran sebab pengundi bertambah, suasana berubah.
“Apabila saya melihat perkara ini perlu berubah, kita telah menjadikan satu dinamika baharu di Melaka untuk menarik perhatian rakyat supaya melihat peranan dimainkan oleh sebuah kerajaan ini amat besar dalam kehidupan mereka,” katanya ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.
Sebelum ini, Ab Rauf menyatakan kesemua 21 kerusi berkenaan tidak akan dikompromi dan menjadi syarat utama perlu dipatuhi mana-mana pihak sekiranya mahu mengadakan kerjasama dengan BN pada PRN Melaka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik bagi individu berusia 18 tahun ke atas turut mengubah landskap pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, langkah itu membolehkan golongan muda dan individu yang sebelum ini tidak pernah mengundi turut mengambil bahagian pada pilihan raya.
“Pastinya ukuran yang kita dapat pada PRU15 menjadi rujukan untuk kita memperbaiki kaedah perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Mengulas kekuatan dan semangat berpasukan BN menjelang PRN Melaka, Ab Rauf berkata, pendekatan politik perlu disesuaikan dengan keadaan serta cabaran pada setiap zaman.
Menurutnya, kepimpinan terdahulu mempunyai pendekatan tersendiri berdasarkan permasalahan ketika itu, manakala strategi semasa perlu mengambil kira keperluan rakyat hari ini.
“Karya-karya politik ini sesuai dengan waktu dan keadaan ketika itu. Kalau dulu kita ada pemimpin-pemimpin terdahulu, mereka sesuai dengan waktu ketika itu. “Masalah yang dihadapi juga sesuai dengan permasalahan waktu berkenaan dan diselesaikan mengikut suasana ketika itu,” katanya.
Ujar beliau, pendekatan kerajaan negeri ketika ini diterjemahkan menerusi beberapa program yang membolehkan wakil rakyat berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.
Menurutnya, antara program tersebut ialah Wakil Rakyat Untuk Rakyat, Jelajah Ketua Menteri dan program sehari bertemu rakyat.
“Itu yang rakyat nak. Kita bukan menjadi seorang wakil rakyat untuk menunjukkan kita lebih hebat daripada orang lain. Kita berkhidmat untuk rakyat, kita wakil kepada mereka,” katanya.
Ab Rauf berkata, wakil rakyat perlu memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing termasuk kemudahan jalan raya, lampu jalan dan keperluan kawasan pertanian.
“Kita kena dengar suara mereka, tahu denyut nadi mereka dan keperluan mereka. Apa keperluan mereka? Jalan, lampu, kawasan pertanian dan semua ini saya telah rungkaikan,” katanya.
Tambah beliau, penerimaan rakyat turut bergantung pada sejauh mana mereka dapat merasai kesan usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam kehidupan seharian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
