Sarawak, Norway bincang wujudkan dana kekayaan berdaulat

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Sarawak akan bekerjasama dengan Norway dalam usaha ke arah kejayaan pembentukan dan pengurusan dana kekayaan berdaulat sendiri, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kejayaan dana kekayaan berdaulat Norway yang diiktiraf secara meluas telah diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996, justeru, ia merupakan standard yang perlu ditanda aras oleh Sarawak.

"Memandangkan banyak persamaan antara Sarawak dan Norway, Sarawak berminat khususnya dalam aspek yang dapat dipelajari dari Norway, memandangkan ia mempunyai pengalaman kira-kira 25 tahun dalam membangunkan dana itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Oslo, Norway pada Jumaat.

Beliau kini berada dalam rangka lawatan dua hari di Norway sebagai sebahagian daripada jadual seminggu di Eropah yang menyaksikan beliau diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda Isnin lalu.

Ketika bertemu pegawai Pengurusan Pelaburan Norges Bank yang telah dilantik untuk menguruskan dana kekayaan Norway, Abang Johari dimaklumkan bahawa dana yang dipanggil ‘The Government Pension Fund Global’ menerima suntikan pertama wang daripada lebihan hasil sektor petroleum sebanyak dua bilion krone daripada kerajaan Norway pada 1996.

"Pada 2021, ia melaporkan nilai keseluruhan AS$1.34 trilion dengan semua pelaburan dalam ekuiti dan hartanah di luar negara,” katanya.

Abang Johari berkata, memandangkan Sarawak mempertimbangkan untuk mewujudkan dana berdaulat, kerajaan negeri menanda aras banyak dana serupa di seluruh dunia dan mendapati dana Norway adalah yang terbesar, dengan amalan tadbir urus yang baik dan dasar yang jelas dalam pengurusan dana.

Beliau berkata, Norway dan Sarawak yang kedua-dua geografinya besar dan berpenduduk jarang serta dilimpahkan dengan sumber asli yang banyak, terutama minyak dan gas serta kuasa hidro berkongsi banyak sifat yang sama.

"Sarawak, sebagai wilayah konstituen terbesar Malaysia, adalah kira-kira satu pertiga saiz Norway, dengan kira-kira separuh penduduk. Kami juga berkongsi hasrat yang sama untuk bergerak ke arah pembangunan mampan, memelihara dunia untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau mengakui Norway sedang menerajui Eropah dalam peralihan tenaga dengan hampir semua tenaga elektriknya dijana oleh sumber boleh baharu dan mempunyai satu daripada perkadaran kenderaan elektrik tertinggi di dunia.

Justeru, Sarawak menyasar untuk menjadi wilayah utama peralihan tenaga di Malaysia, beralih daripada pergantungan terhadap bahan api fosil, yang mana negeri itu menjadi pengeluar minyak dan gas penting sejak 1910.

Bagaimanapun, hanya baru-baru ini Sarawak mencatatkan peningkatan ketara dari segi hasil minyak dan gas, dan memandangkan peralihan tenaga ke arah bahan api hijau, kenaikan ini dijangka bertahan sehingga satu generasi atau sekitar 25 tahun.

"Oleh itu, saya percaya, sejajar dengan hasrat kita untuk membangunkan strategi kemampanan pelbagai generasi untuk Sarawak, kita tidak seharusnya menggunakan semua hasil yang meningkat itu sekarang, sebaliknya mengetepikan sebahagiannya untuk manfaat generasi akan datang dalam bentuk dana berdaulat,” katanya. - Bernama