Sila log masuk terlebih dahulu.

Tembok Laut Padang Kota tarikan baharu Pulau Pinang

Kon Yeow (tiga dari kanan) melawat Projek Tembok Laut Padang Kota selepas majlis perasmian pada Jumaat.
Kon Yeow (tiga dari kanan) melawat Projek Tembok Laut Padang Kota selepas majlis perasmian pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang mempunyai satu lagi tarikan baharu apabila Tembok Laut Padang Kota Lama, di sini kini dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti beriadah.

Projek yang menelan belanja RM12.9 juta sejak 2016 itu sepatutnya siap sepenuhnya lebih awal namun terhenti seketika selepas negara dilanda wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif menaik taraf kawasan tersebut yang dipertanggungjawabkan kepada George Town Conservation Devalopment Corporation (GTCDC) sejak 2016 itu adalah berdasarkan North Seafront Master Plan iaitu Pelan Induk di dalam Rancangan Kawasan Khas George Town.

Katanya, GTCDC mengambil langkah positif menjalankan kajian yang menyeluruh merangkumi bidang sejarah kewujudan pembinaan tembok laut, warisan, kerja ukur pesisir pantai, kejuruteraan marin dan struktur.

"Pelan Induk ini melibatkan kira-kira 14 projek dengan kos keseluruhan RM140 juta yang dibiayai oleh kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Think City secara bersama.

"Daripada 14 projek tersebut (projek fizikal dan projek kajian), 10 daripadanya telah disiapkan setakat ini dengan penglibatan pelbagai agensi dan jabatan negeri termasuk projek Tembok Laut Padang Kota ini (dengan kerjasama MBPP)," katanya selepas merasmikan Projek Kerja Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut Padang Kota di sini pada Jumaat.

Kon Yeow (lima dari kanan) merasmikan Projek Tembok Laut Padang Kota pada Jumaat.
Kon Yeow (lima dari kanan) merasmikan Projek Tembok Laut Padang Kota pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Kota berkata, pembangunan jajaran tembok laut itu termasuk ruang pejalan kaki adalah sepanjang kira-kira 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Keseluruhan kos projek iaitu RM12.9 juta dibiayai MBPP namun kerajaan tambahan RM1.4 juta untuk projek Linear Garden yang akan dimulakan tahun ini oleh MBPP. Ia bagi melengkapkan fungsi ruang awam dan kawasan hijau berdekatan tembok laut ini.

"Projek Tembok Laut Padang Kota ini mengekalkan nilai-nilai warisan memandangkan kawasan ini berada di bawah Zon George Town Heritage," katanya.

Tambah beliau, selain projek itu, beberapa projek utama juga sedang dalam pelaksanaan di bawah Pelan Induk termasuk projek konservasi Kota Cornwallis yang memartabatkan pemuliharaan Bangunan Warisan Kategori 1.

"Terdapat juga projek yang melibatkan menaik taraf laluan pejalan kaki di Lebuh Light serta di kawasan sekitar North Seafront bagi memastikan setiap kawasan tumpuan dihubungkan dengan baik dan terancang.

"Selain itu, kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam dan taman permainan berhampiran Astaka Medan Selera Renong serta Projek Linear Garden yang akan melengkapkan lagi ketersediaan kawasan tembok laut sebagai kawasan ruang awam," katanya.