'Macam mana nak tanam musim depan?' - Pesawah terduduk padi musnah

ROMPIN - Pesawah di jelapang padi Paya Sepayang di sini kini dalam dilema untuk meneruskan penanaman padi musim akan datang.
Rata-rata mereka mengaku habis modal selepas menanggung kerugian besar apabila padi diusahakan musim ini rosak akibat 'serangan' keladi agas dan paku rawan yang tumbuh tidak terkawal di hampir keseluruhan petak sawah.
Lebih memburukkan keadaan masalah serangga perosak seperti ulat batang dan kutu beruang terus membelenggu pesawah selain sejenis penyakit misteri yang masih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mereka.
Pesawah, Zulmizan Zaini, 48, berkata, selama hampir 26 tahun mengusahakan sawah di situ, masalah serangan berangkai yang dihadapi musim ini disifatkan paling buruk.
Katanya, hampir semua 4.8 hektar sawah diusahakan ditumbuhi keladi agas dan paku rawan menyebabkan padinya terjejas manakala sawah yang kurang tumbuhan liar itu pula diserang ulat batang.
"Hampir keseluruhan pokok padi termasuk yang menunggu masa untuk dituai musnah.
"Usahkan untung, pulang modal pun jauh sekali. Semua modal hampir RM30,000 yang dilaburkan musim penanaman kali ini lebur begitu sahaja," katanya ketika ditemui di sawah miliknya di sini pada Ahad.

Zulmizan berkata, bermacam usaha dilakukan termasuk menggunakan racun terbaik untuk membasmi rumpai dan serangga berkenaan namun ia tidak berkesan.
Katanya, ada pesawah yang terjejas terpaksa membiarkan sebahagian padi yang 'selamat' kerana hasilnya tidak berbaloi berbanding kos tuaiannya.
"Saya sendiri hilang sumber pendapatan disebabkan masalah ini hingga terpaksa mengambil upah mengait sawit untuk menyara keluarga," katanya.
Sementara itu, Mohd Kamal A Rahman berkata, masalah itu dihadapi 202 pesawah berdaftar termasuk dia sendiri dengan kira-kira 60 peratus daripada 240 hektar sawah diusahakan gagal dituai kali ini.
Katanya, walaupun masalah itu pernah berlaku sebelumnya namun kali ini yang terburuk.
"Saya sendiri angkat tangan menyerah kalah. Ada pesawah lain cuba bajak balik dan tanam semula namun keadaannya tetap sama, bendang mereka kembali dipenuhi keladi dan akhirnya terpaksa dibiarkan sahaja," katanya yang sudah mengusahakan sawah di situ sejak 40 tahun lalu.

Mohd Kamal berkata, jika tiada bantuan daripada kerajaan, dia terpaksa membuat keputusan untuk tidak meneruskan penanaman musim akan datang selagi masalah itu tidak diselesaikan.
"Saya bimbang perkara sama terus berulang jadi sebaiknya berhenti dulu bagi elak terus tanggung rugi," katanya.
Keputusan sama mungkin dibuat Gani Mohd Ros, 61, apabila dia antara pesawah yang 'terduduk' apabila sawah diusahakan dengan padi bertukar menjadi lautan keladi agas dan paku rawan.
Katanya, serangan ulat batang juga amat serius apabila pokok yang telah mengeluarkan biji padi masih terkena serangan.
"Dengan modal lebih RM7,000 bagi tiga ekar (1.2 hektar) sawah diusahakan, hasilnya hanya 1.4 tan sahaja. Padi yang dihantar ke kilang kena potongan lagi hingga 55 peratus.Pendapatan musim ini hanya RM1,200.
"Langsung tak balik modal, macam mana nak tanam musim depan?Sebelum ini di sebalik masalah hampir sama berlaku, hasilnya masih balik modal dengan sedikit duit belanja, kali ini memang terduduk," katanya.
Masalah dihadapi para pesawah di sawah Paya Sepayang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramli.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi para pesawah itu serius dan perlu perhatian pihak berkaitan khususnya agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
"Hampir 60 peratus kawasan terpaksa ditinggalkan tanpa dituai kerana padinya musnah disebabkan masalah ini.
"Saya difahamkan masalah keladi agas dan paku rawan ini berpunca daripada benih rumpai itu di empangan takungan tersebar masuk melalui air yang dialirkan ke kawasan sawah di sini," katanya.
Jelasnya, sampel keladi agas dan paku rawan juga telah diambil manakala berdasarkan maklum balas diterima, pihak Bahagian Biosekuriti Tumbuhan KPKM dijangka datang untuk melakukan penelitian selanjutnya.
"Saya juga akan berjumpa pihak kementerian dan menteri sendiri minta supaya masalah pesawah di sini diberikan perhatian termasuk bantuan sewajarnya bagi meringankan beban pesawah terlibat.
"Ia termasuk bantuan kepada pesawah untuk memulakan penanaman musim depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

