Tak keluar kenyataan cuti sekolah di Pasir Gudang perlu diganti

Maszlee - Foto Bernama
Maszlee - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menafikan pernah mengeluarkan kenyataan agar cuti sekolah akibat pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor perlu diganti seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan, semalam.

Maszlee dalam kenyataan medianya berkata, makluman sama ada cuti itu perlu diganti atau tidak akan diputuskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan agar cuti akibat bencana sisa kimia di Pasir Gudang perlu diganti.

"Dalam sidang akhbar berkenaan, transkrip jawapan saya adalah seperti berikut: “Kita akan maklumkan kemudian melalui JPN, mereka akan membuat pemakluman kepada PPD Pasir Gudang dan sekolah-sekolah”," katanya.

Maszlee berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta akhbar tersebut membetulkan laporan berkenaan supaya tidak mengelirukan orang ramai.

Semalam, akhbar tersebut mengeluarkan artikel bertajuk ‘Cuti Sekolah Akibat Pencemaran Sungai Kim Kim Perlu Diganti’ yang turut mendapat pelbagai reaksi warganet. Pada 13 Mac lepas, Maszlee mengarahkan 111 sekolah yang terkesan dengan pencemaran gas berbahaya di Sungai Kim Kim diberikan cuti serta-merta sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

Jumaat lalu, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Azman Adnan dilaporkan berkata kesemua sekolah tersebut akan dibuka semula pada 31 Mac ini selepas kerja-kerja pembersihan sekolah diselesaikan. - Bernama

Artikel Berkaitan: