'Kalau Sapura tidak dimiliki PNB, saya tak minat berdebat' - Najib

Najib semasa program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Najib semasa program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Sapura Energy Berhad milik rakyat Malaysia dan keputusan berhubung syarikat tersebut dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019.

Ujar beliau, sekiranya Sapura tidak dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), beliau tidak berminat untuk berdebat mengenai isu tersebut pada malam Khamis.

"Kenapa Sapura perlu diselamatkan? Pertamanya, yang bergantung kepada Sapura ini (adalah) 10,500 anak tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi.

"3,000 vendor dan sumbangan Sapura kepada ekonomi tempatan berjumlah RM92 bilion dalam tempoh lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana yang julung kali menampilkannya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini pada Khamis.

Debat ini mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew Daily dan Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, PNB dijangka akan mengalami kerugian sebanyak RM5 bilion sekiranya Sapura gagal atau muflis.

Menurutnya, ia juga memberi kesan kepada seramai 10.6 juta rakyat Malaysia yang merupakan pelabur Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

"Perlu diingatkan Sapura pernah menjadi syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia.

"Syarikat Sapura ini bermasalah kerana struktur industri...kerana kejatuhan harga minyak pada tahap yang begitu rendah selama tujuh tahun," ujarnya.

Debat Perdana itu menyentuh dua isu utama iaitu membabitkan persoalan sama ada syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB) perlu diselamatkan atau sebaliknya serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung kewajaran bailout (menyelamatkan) SEB yang berdepan dengan masalah aliran tunai demi kepentingan strategik negara.

Turut hadir adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.