Anwar cadang audit forensik dilakukan bagi selamatkan Sapura

Anwar semasa program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Anwar semasa program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan audit forensik dilakukan bagi menyelamatkan syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB).

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, audit forensik itu perlu dilakukan sekiranya kerajaan mahu membuat 'bail out' atau menyelamatkan SEB.

"Kita mesti bermula dengan audit forensik apa yang berlaku, bagaimana perjanjian dibuat, siapa ambil komisyen, arahan siapa dan orang politik mana terlibat? Itu semua kita kena tahu sebelum kita campur.

"Kalau tidak, kita buat andaian semuanya okey. Ini tidak benar. Kita dah tengok (kes syarikat bermasalah) Malaysia Airlines Berhad, Perwaja Steel Sdn Bhd dan banyak masalah-masalah lain yang harus jadi pengajaran kepada kita. Tetapi tidak ada forensik audit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.

Debat itu mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily.

Anwar menegaskan, masalah timbul kepada kerajaan kerana menjaga kepentingan beberapa ahli politik dan syarikat-syarikat gergasi berkenaan.

Beliau berkata, untuk membantu SEB, kerajaan seharusnya melakukan unjuran dengan perlu mendapatkan kepakaran, pengurusan baik yang tidak menyalahgunakan kuasa dan memiliki keupayaan untuk menyelesaikan apa-apa masalah serta kemelut dihadapi.

"Syarikat terbabit tidak boleh contohnya hanya pandai ambil untung atau pendapatan RM100 juta setahun, kemudian bila ada masalah hempap kepada kerajaan untuk selesaikan.

"Ini bukan cara kita urus syarikat-syarikat di negara kita kerana masalah ini akan berulang kalau tidak ada kesediaan untuk membawa perubahan.

"Kita boleh guna slogan transformasi dan reformasi (untuk selesaikan kemelut ini) tapi kalau tidak ada perubahan, tak ada makna sama sekali," katanya.