'Mohon benarkan pasar malam Jonker Walk beroperasi setiap hari'

Tian Loo (dua dari kiri) ketika menyantuni peniaga di Jonker Walk di sini, pada Khamis.
Tian Loo (dua dari kiri) ketika menyantuni peniaga di Jonker Walk di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Pasar malam Jonker Walk yang menjadi lokasi tumpuan pelancong di bandar Melaka akan beroperasi setiap hari sekirannya mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo berkata, sebelum ini pasar yang merekodkan pengunjung ramai pada hujung minggu, hanya beroperasi tiga hari seminggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, terdapat usaha bagi membolehkan pasar malam itu beroperasi setiap hari untuk menghidupkan semula pusat pelancongan berkenaan sekali gus memberi limpahan rezeki kepada peniaga berbanding dapat beroperasi tiga hari sahaja.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) bagi mendapatkan kebenaran tersebut.

"Kebanyakan pelancong yang datang ke Jonker Walk selain daripada hari dibenarkan operasi akan rasa kecewa kerana langsung tiada aktiviti pada hari biasa.

"Kita berharap dan menunggu pihak berkenaan meluluskan permohonan untuk membolehkan pasar malam Jonker Walk beroperasi setiap hari," katanya ketika sidang akhbar di Jalan Kubu, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut Tian Loo berkata, sejak peralihan fasa ke endemik April lalu, dianggarkan lebih setengah juta pengunjung datang ke Jonker Walk termasuk pada hari Raya Aidilfitri yang disambut baru-baru ini.

Katanya, melihat kedatangan pengunjung yang memberangsangkan pihaknya menyasarkan seramai 900,000 orang pengunjung ke Jonker Walk hingga hujung tahun ini.

"Cadangan ini juga mendapat persetujuan dan sokongan daripada peniaga-peniaga kawasan itu.

"Jika kebenaran untuk pasar malam mingguan beroperasi setiap hari diberikan ia akan merancakkan lagi kedatangan pelancong ke lokasi tersebut," katanya.

Ujarnya, hampir 95 peratus premis di Jonker Walk kembali beroperasi dan merekodkan 500,000 pengunjung hingga minggu pertama bulan ini.