Pendaratan ikan air tawar di Selangor meningkat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pendaratan ikan air tawar di Selangor menunjukkan peningkatan berbanding pada 2020 apabila berlaku penurunan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Menurut Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim, Selangor merekodkan sejumlah 64,505.45 kilogram (kg) pendaratan ikan pada 2019 dan menurun kepada 56,846.40kg pada 2020.

Bagaimanapun katanya, jumlah pendaratan ikan mencatatkan peningkatan pada tahun lalu iaitu sebanyak 71,212.47kg dan jumlah itu tidak termasuk aktiviti perikanan darat secara separuh masa dan perikanan rekreasi.

"Data pendaratan ikan ini dikumpul daripada 96 nelayan darat sepenuh masa yang berdaftar di bawah Pejabat Perikanan Negeri Selangor dan aktif menjalankan aktiviti pendaratan ikan air tawar.

"Antara spesies ikan yang didaratkan adalah baung, lampam sungai, udang galah, tapah, haruan, belida, puyu dan pelbagai spesies ikan air tawar yang lain," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Ikan Asli dan Ancaman Ikan Asing, Perasmian Program 'Ocean Clean Up' dan Sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Seksyen 24 di sini.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Ts Hasrulnizam Shaari.

Dalam pada itu, Izham berkata, sumber perikanan ikan asli kini diancam kepupusan akibat beberapa perkara seperti pencemaran air, pembukaan tanah dan yang amat kritikal iaitu pengenalan spesies asing ke kawasan perairan air tawar tempatan.

Izham (tengah) diiringi Noraisyah merasmikan Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Ikan Asli dan Ancaman Ikan Asing, Perasmian Program 'Ocean Clean Up' pada Khamis.
Izham (tengah) diiringi Noraisyah merasmikan Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Ikan Asli dan Ancaman Ikan Asing, Perasmian Program 'Ocean Clean Up' pada Khamis.

"Perkara ini dikeruhkan lagi dengan biologi ikan asing yang kebanyakannya adalah ikan invasif iaitu ikan yang berupaya memusnah dan mengubah ekosistem dicerobohinya sehingga menyebabkan kepupusan spesies asli tempatan.

"Oleh yang demikian, kempen kesedaran ini akan dijalankan untuk mewujudkan kesedaran awam berkenaan kepentingan pemuliharaan spesies ikan asli dan mengurangkan kesan daripada ancaman ikan asing terhadap ekosistem perairan terutama di Negeri Selangor.

"Kempen ini akan menggariskan beberapa langkah dan cadangan yang akan dihebahkan kepada umum terutama jabatan dan agensi kerajaan serta kumpulan atau individu yang terlibat aktif dalam sektor pertanian dan perikanan," katanya.

Beliau menambah, kempen itu juga menekankan sumbangan semua pihak dalam memastikan kelestarian stok ikan melalui pelepasan umum serta galakan penyertaan dalam mengawal populasi spesies asing.

"Turut diingatkan bahawa sebarang aktiviti pelepasan umum di perairan negeri Selangor perlu mendapat kebenaran bertulis dan khidmat nasihat daripada Pejabat Perikanan Negeri Selangor serta mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan," katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan agar setiap individu di Selangor untuk mematuhi undang-undang yang termaktub di dalam Akta Perikanan 1985 & Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 yang menggariskan larangan import dan eksport serta pemilikan ikan larangan.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai penjualan, pembiakan serta pemilikan ikan asing yang dilarang bolehlah membuat aduan serta menyalurkan maklumat kepada Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri," katanya.