Hujan lebat, sungai cetek punca banjir di Janda Baik

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Rosdy)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Rosdy)
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Banjir kilat melanda kawasan di Janda Baik, Bentong pada Rabu disebabkan hujan terlampau lebat di kawasan hulu sehingga berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keadaan sungai yang cetek disebabkan banjir besar pada Disember tahun lalu antara penyumbang kepada bencana itu.

Menurutnya, cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan taburan hujan pada awal pagi hari kejadian sebanyak 19.5 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam.

"Kadar hujan dalam tempoh tiga jam itu dikategorikan sangat lebat kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10 mm," katanya dalam kenyataan melalui Facebook miliknya.

Wan Rosdy berkata, berikutan kejadian, kerajaan telah mengarahkan beberapa tindakan segera bagi membantu mangsa yang terkesan dalam kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Janda Baik itu.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral telah diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

"Bantuan pek makanan dan bantuan lain juga akan ditambah dari masa ke masa dengan kadar segera.

"Bagi membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah, Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya dari Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin," katanya.

Menurutnya, ketika ini kerajaan negeri dan agensi yang terlibat sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir terlibat.

Justeru katanya, semua mangsa yang terlibat diharap tabah mendepani ujian itu manakala kerajaan negeri akan membantu semua yang terkesan dengan sehabis baik.

Dalam kejadian pada Rabu, empat buah kampung di Bentong iaitu Kampung Janda Baik, Kampung Sum Sum, Kampung Cheringin dan Kampung Chemperoh terlibat banjir melibatkan 160 buah rumah dengan 560 mangsa terjejas.

Pasukan bomba yang segera menjalankan operasi menyelamat berdepan kesukaran ekoran berlaku kejadian pokok tumbang menghalang ke lokasi kejadian selain jentera tersekat di dalam lumpur.

Selain itu turut berlaku kejadian tanah runtuh di jalan masuk ke Janda Baik dan di antara Kampung Sum Sum ke Kampung Chemperoh.