Kontinjen Malaysia kekal cemerlang di Hanoi 2021

Pemain Harimau Muda meraikan jaringan ketika menentang Laos pada saingan Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Thien Truong malam ini. - Foto Bernama
Pemain Harimau Muda meraikan jaringan ketika menentang Laos pada saingan Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Thien Truong malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEHARI sebelum upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Hanoi 2021 edisi ke-31 di sini berlangsung Khamis, kontinjen negara terus menampilkan pencapaian cemerlang apabila meraih tiga lagi kilauan emas pada Rabu.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Malaysia meraih keseluruhan sembilan pingat emas, dua perak serta enam gangsa setakat ini, meletakkan kontinjen negara di kedudukan kedua di belakang tuan rumah Vietnam yang mengutip 10 emas, tujuh perak dan sembilan gangsa.

Seperti diduga, Malaysia yang merupakan gergasi dalam acara terjun di rantau ini terlalu hebat apabila menambah dua lagi pingat emas manakala pencak silat menghadiahkan satu emas buat Malaysia hari ini.

Dalam acara terakhir terjun hari ini, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong dan pemenang sulung pingat emas kem negara pada temasya kali ini, Nur Dhabitah Sabri melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia sekali gus menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang ditawarkan dalam sukan itu di Hanoi.

Gandingan terjun negara itu mengungguli 10 meter (m) platform seirama wanita di Aquatic Sports Palace.

Terdahulu, penerjun negara Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim menguasai dua tempat teratas dalam acara 3 meter papan anjal lelaki.

Muhammad Syafiq merangkul pingat emas dengan markah keseluruhan 381.35 mata, gelaran juara sulungnya dalam acara individu, selepas memenangi pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama campuran bersama Jasmine Lai dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Gabriel pula memperoleh perak dengan 375.30 mata.

Di Pusat Sukan Bac Tu Liem, acara pencak silat turut tidak mengecewakan apabila gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga berjaya mempertahan pingat emas acara seni ganda putra.

Pasangan itu mengungguli acara final tersebut setelah memperoleh 9.950 mata untuk menewaskan gandingan adik-beradik dari Singapura, Muhammad Hazim Mohammad Zaque dan Muhammad Haziq Mohammad Zaque, yang mengutip 9.905 mata.

Kem pencak silat turut menghadiahkan tiga butir gangsa buat Malaysia menerusi Luqman Laji dalam acara seni tunggal lelaki, Nur Syazreena Malik-Nor Hamizah Abu Hassan (seni ganda wanita) dan Merrywati Manuil-Siti Nur Khairunnisa Hail-Fatin Ardani Zamri (seni regu wanita).

Malaysia dijangka merangkul dua lagi pingat gangsa dalam acara kick boxing selepas kedua-dua wakil negara tewas di peringkat separuh akhir di Gimnasium Bacninh hari ini.

Mohamad Rifdean Masdor terlepas peluang untuk mencabar dua tempat teratas selepas tewas 0-3 kepada peserta tuan rumah Huynh Van Tuan dalam kategori 51 kilogram full contact lelaki.

Nasib sama menimpa Hayatun Najihin Radzuan dalam kategori 60 kilogram low kick wanita apabila tewas 0-3 kepada Gina Iniong Araos dari Filipina.

Sementara itu, skuad Harimau Muda mencatatkan kemenangan kedua dalam acara bola sepak lelaki apabila menumpaskan Laos 3-1 di Stadium Thien Truong di Nam Dinh malam ini.

Kejayaan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney membawa pulang tiga mata itu menyaksikan Malaysia menerajui saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selain mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengatasi Thailand 2-1 pada aksi sulung Sabtu lepas.

Pemburuan pingat emas kontinjen negara ‘terhenti sementara’ selepas tiada acara yang dipertandingkan Khamis bagi memberi laluan kepada upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium My Dinh pada sebelah malam.