Langgar lampu isyarat, tak pakai helmet kesalahan tinggi di Kedah

Seorang penunggang motosikal ditahan oleh UPB kerana tidak memakai topi keledar di sebuah lokasi di Kedah baru-baru ini. - Foto JPJ Kedah
Seorang penunggang motosikal ditahan oleh UPB kerana tidak memakai topi keledar di sebuah lokasi di Kedah baru-baru ini. - Foto JPJ Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Gagal mematuhi lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar antara kesalahan paling banyak dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) pada 28 April hingga 8 Mei lalu.

Pengarah JPJ Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) yang dilengkapi Enforcement Action Camera (EAC) berjaya mengesan kesalahan berkenaan sepanjang tempoh operasi dijalankan.

"Sebanyak 18 kes kesalahan lalu lintas dikesan dan dirakamkan oleh EAC. Kamera tersebut dipasang pada topi keledar anggota UPB.

"Kesalahan paling tinggi adalah melanggar lampu isyarat dengan tujuh kes diikuti tidak memakai topi keledar dengan lima kes," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kesalahan lain yang turut dikesan adalah dua kes menggunakan telefon bimbit semasa memandu, satu kes memotong di sebelah kiri dan tiga kesalahan lain-lain.

Katanya, kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat antara kesalahan utama yang tidak akan dikompaun dan pesalah perlu menyelesaikan kes tersebut di mahkamah.

"Sebanyak 5,381 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi ini dengan 386 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan," katanya.