X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Lapan cadangan tambah baik aliran trafik di pondok tol

Lapan cadangan yang dikemukakan Kian Ming di Facebook miliknya bagi menambah baik aliran trafik di pondok tol.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengemukakan lapan cadangan bagi menambah baik aliran trafik di pondok tol antaranya ialah analisis data trafik di lorong MyRFID, Smart Tag dan Touch ‘n Go.

Menurutnya, pemprosesan data besar yang betul untuk menilai kecekapan masing-masing, terutama mempunyai trafik tinggi akan memberi gambaran terkini mengenai kelajuan aliran trafik di pelbagai lorong.

“Jika PLUS dan Touch ‘n Go dapat menunjukkan bahawa kelajuan aliran trafik adalah lebih pantas di lorong MyRFID berbanding lorong lain, ini mungkin mendorong lebih ramai pengguna lebuh raya memasang tag MyRFID.

"Ini juga akan dapat mencapai sasaran kerajaan sebanyak 60 peratus penggunaan RFID pada akhir 2022,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, analisis data besar di pelbagai pondok tol juga boleh membantu PLUS dan Touch ‘n Go mengenal pasti kawasan berkemungkinan berlaku kesesakan maka lebih banyak aset seperti kakitangan sokongan boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah pembayaran.

Dalam pada itu, Kian Ming turut menggesa penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau jenis pemberitahuan lain untuk mengingatkan pengguna lebuh raya mengenai pilihan baki rendah/auto-tambah jika baki e-dompet MyRFID mereka rendah.

"Pengguna juga harus digalakkan untuk menggunakan fungsi tambah nilai automatik dalam e-dompet Touch ‘n Go," katanya lagi.

Beliau turut meminta caj baki negatif satu kali dalam kad Touch ‘n Go pengguna jalan raya atau e- dompet, yang akan diikuti dengan peringatan atau pemberitahuan untuk menambah nilainya kerana kebiasaan kenderaan tersangkut di pondok tol adalah kerana baki rendah dalam kad Touch ‘n Go atau e-dompet mereka.

Cadangan lain diutarakan termasuklah melancarkan MyRFID untuk bas, lori dan kenderaan berat lain serta meningkatkan ketersediaan kad Touch ‘n Go yang dipertingkatkan bagi membolehkan kad itu ditambah dalam talian.

Beliau turut meminta MyRFID, yang kini dimiliki dan dikendalikan oleh Touch ‘n Go e-dompet untuk dipautkan kepada sistem pembayaran lain untuk menyediakan pengguna lebuh raya pelbagai pilihan.

Selain mendesak garis masa untuk penukaran Smart Tag ke lorong MyRFID, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya perlu menyatakan garis masa bagi rancangan keseluruhannya untuk berhijrah kepada sistem aliran bebas berbilang lorong (MLFF) seperti diumumkan sebelum ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!