Polis sahkan video tular pergaduhan pelajar di Bentong rakaman lama

BENTONG – Polis mengesahkan video pergaduhan yang tular di media sosial membabitkan beberapa pelajar sekolah dan seorang lelaki dewasa di hadapan sebuah sekolah di daerah ini merupakan rakaman lama yang kembali disebarkan di Facebook.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintenden Azmi Mahmod berkata, kejadian tersebut telah dilaporkan pada 16 Jun lalu dan siasatan kes itu telah selesai dijalankan.
Menurutnya, dua remaja berusia 15 dan 16 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan telah ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.
“Kedua-duanya direman selama dua hari bermula 17 hingga 18 Jun lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Video berdurasi 31 saat yang memaparkan insiden pergaduhan itu kembali tular di Facebook dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Azmi berkata, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 15 Julai lalu untuk penelitian dan arahan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, keputusan yang diterima adalah tiada tindakan lanjut (No Further Action atau NFA).
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan siasatan termasuk tindakan bapa mangsa yang menarik balik laporan polis serta tidak berhasrat meneruskan kes,” katanya.
Beliau menegaskan siasatan telah dijalankan secara telus dan profesional mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pihak polis memandang serius sebarang kejadian yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar sekolah.
“Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.
“Orang ramai juga diingatkan supaya menghormati privasi dan melindungi identiti individu yang terlibat, khususnya kanak-kanak dan pelajar sekolah, dengan tidak menyebarkan video, gambar atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

