Laluan utama Lebuhraya KL–Karak masih selamat

Laluan utama di KM68 arah Kuala Lumpur masih selamat digunakan oleh pengguna lebuh raya. - Foto Ihsan Anih Berhad
Laluan utama di KM68 arah Kuala Lumpur masih selamat digunakan oleh pengguna lebuh raya. - Foto Ihsan Anih Berhad
A
A
A

KUANTAN - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad mengesahkan laluan utama di Kilometer (KM) 68 Lebuh Raya KLK arah ke Kuala Lumpur masih selamat untuk digunakan pengguna.

Ia berikutan beberapa kawasan berhampiran dinaiki air akibat hujan lebat yang melanda pada Selasa.

Pengurus Besar Kanan, Ketua Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, hujan lebat yang melanda sejak jam 3 pagi tadi telah menyebabkan kawasan di Janda Baik dinaiki air.

Menurutnya, biarpun hujan mula reda pada waktu ini, pihak Anih Berhad masih memantau paras air Sungai Bentong sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Alhamdulillah, setakat ini, laluan utama di KM68 arah ke Kuala Lumpur masih selamat untuk digunakan.

"Kami ingin menasihati pengguna Lebuhraya KLK untuk memandu dengan berhati-hati dalam cuaca hujan ini dan merancang perjalanan mereka sekiranya keadaan hujan ini masih berterusan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pengguna boleh merujuk ke laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/Anih Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 1-700-818-700 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini.