1,499 pemilik akaun keldai, 'scammer' ditahan

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 66 ahli sindiket penipuan atau 'scammer' platform e-dagang dan 1,433 pemilik akaun keldai berjaya ditahan dalam Op Merpati yang dijalankan bermula 13 hingga 30 April lalu di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, operasi khas tersebut dijalankan berikutan jumlah aduan yang diterima berkaitan jenayah komersial tersebut mencecah 2,070 kes membabitkan kerugian bernilai RM26.67 juta sejak bulan Januari hingga Mac 2022.

Menurutnya, sepanjang tahun 2021 pihaknya menerima sebanyak 9,574 aduan berkaitan penipuan menerusi platform e-dagang melibatkan jumlah kerugian mencecah RM74.08 juta di seluruh negara.

"Perkembangan dan kecanggihan teknologi serta penggunaan internet turut membuka peluang kepada perlakuan jenayah komersial tersebut.

"Antara kategori jenayah menggunakan medium internet yang dilihat aktif pada masa ini adalah penipuan e-dagang atau pembelian secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil risikan dan pemantauan berterusan, pihak JSJK Bukit Aman berjaya menumpaskan enam sindiket penipuan e-dagang dengan tertangkapnya 66 suspek dalam serbuan ke atas enam pusat panggilan yang giat mencari mangsa di seluruh negara.

Mohd Kamarudin berkata, keseluruhannya seramai 1,499 ahli sindiket dan pemilik akaun keldai yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit telah ditahan dalam operasi khas tersebut.

"Sepanjang operasi tersebut, Selangor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi seramai 224 suspek, Kuala Lumpur (180), Johor (166), Perak (126), Sarawak (108), Sabah (103), dan Melaka (101).

"Manakala tangkapan di Pulau Pinang melibatkan seramai 97 suspek, Negeri Sembilan (89),Kedah (81), Pahang (94), Perlis (30), Terengganu (50) dan Kelantan (50)," katanya.

Katanya, sebahagian daripada tangkapan telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati jika melakukan transaksi secara dalam talian dengan individu atau pihak yang tidak dikenali supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.