Ibrah daripada musibah

Berpesan-pesan ke arah kebaikan

Setiap kesakitan ada hikmah yang tersembunyi. - Gambar hiasan
Setiap kesakitan ada hikmah yang tersembunyi. - Gambar hiasan
A
A
A

KOLUM ini adalah kolum khas untuk berbicara tentang isu-isu semasa politik negara. Tetapi kali ini penulis memohon kebenaran untuk menyimpang daripada hal-hal politik untuk berkongsi satu pengalaman peribadi yang dilalui beberapa minggu yang lepas. Ia digarap sebagai satu perkongsian dalam usaha kita untuk sama-sama mencari ibrah dan keredaan Ilahi dalam setiap apa yang kita lakukan.

Teringat kepada Surah al-Asr yang menggesa kita agar sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran. Naratif yang saya lakarkan di sini adalah untuk semua yang sudi membacanya tetapi ia adalah satu peringatan khusus kepada pembaca-pembaca muda agar mereka tidak lalai dan alpa dengan kehidupan di dunia yang fana ini.

Pada masa sama Tuhan juga memperingati agar kita tidak lupa kepada bahagian kita di dunia ini. Segala keindahan dan kenikmatan duniawi yang halal yang dianugerahi-Nya. (Al-Qashaf: 77)

Ertinya, kita perlu menerima hakikat bahawa dunia dan akhirat adalah sama pentingnya dan saling berkait rapat di antara satu sama lain. Kita perlu membina kehidupan yang seimbang antara kedua-duanya.

Pengalaman untuk dikongsi

Kira-kira tiga minggu yang lepas saya jatuh sakit. Saya mengalami kesakitan dada dan sesak nafas dengan tiba-tiba. Bergegas saya dibawa ke hospital. Dua minggu saya terlantar di hospital. Saya menjalani berbagai-bagai ujian dan pemeriksaan oleh tidak kurang daripada tujuh hingga lapan pakar perubatan. Terlintas dalam hati saya bahawa saya sudah sampai di penghujung hayat. Saya dikatakan menghadapi masalah paru-paru berair. Hampir tiga liter air dikeluarkan daripada paru-paru kanan saya.

Semasa di dalam wad, saya tidak putus-putus diberi ubat termasuk ubat tidur yang banyak untuk membuat saya lena, khayal dan menggapai. Namun pada sebahagian besar semasa saya di alam maya, minda dan fikiran saya tetap berfungsi dan bergerak cergas. Saya tidak sedar dan tidak tahu apa-apa yang sedang berlaku di alam nyata di sekeliling saya kerana saya berada di dunia saya sendiri.

Saya nampak pelbagai imej dan bayangan serta jalan cerita yang mana sebahagiannya saya tidak atau kurang faham erti, maksud dan maknanya. Saya tidak ketahui sama ada ia satu pengalaman yang benar dan nyata atau semata-mata satu imaginasi dan halusinasi kesan ubat-ubatan, atau ia sekadar mainan dan bisikan syaitan. Yang saya sedar dan tahu ialah saya sedang bertarung di antara hidup dan mati. Saya terasa benar betapa hampirnya dengan mati. Mungkin pada satu masa dan kesempatan yang lain, saya boleh berkongsi pengalaman ini dengan lebih khusus dan terperinci lagi.

Artikel Berkaitan:

Untuk kali ini, iktibar dan ibrah yang saya ingin kongsi di sini ialah tentang betapa benarnya peringatan Tuhan bahawa ‘tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. “Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imrân 3: 185)

Daripada badan yang sihat, minda yang cergas dan dunia yang terdampar luas, saya merasakan kehidupan saya agak terkawal dengan titian hidup yang baik dan selesa. Tiba-tiba bila diserang penyakit dan musibah, diri ini dikejutkan dengan kesedaran dan keinsafan bahawa betapa rapuhnya kehidupan ini.

Dalam separuh sedar saya tertanya-tanya sama ada sudah cukupkah persiapan saya untuk perjalanan seterusnya? Apakah semasa hayat saya, telah saya sempurnakan amal ibadah serta amal jariah dengan sebaik mungkin untuk menyediakan diri saya menghadap Ya-Rabbi dengan penuh tenang dan damai?

Timbul juga persoalan dalam diri sama ada saya telah menjadi seorang insan yang telah kehilangan bentuk dan wajahnya sebagai mukmin yang baik yang dinodai dengan sikap angkuh, sombong dan diselubungi keegoan yang tinggi semata-mata kerana Tuhan telah memberi banyak rahmat-Nya kepada saya?

Dalam kegelapan dan keheningan suasana, saya mulai rasa takut, cemas dan bimbang tentang apa yang sedang menunggu saya dan apakah penyudahannya nanti. “Dan akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapatkan keberkahan yang sempurna dan rahmat daripada Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah: 155-157).

Saya cepat-cepat sujud kepada Ilahi dan memohon taubat atas segala dosa-dosa yang silam. Timbul kesedaran dan keinsafan bahawa kadang-kadang saya telah membiarkan diri saya hanyut, lalai dan alpa dalam keghairahan dan kegemerlapan kehidupan di kota raya.

Dalam diam-diam, saya memohon ampun dan maaf kepada kedua-dua ibu bapa, saudara-mara, kawan-kawan dan semua insan yang telah mewarnai kehidupan saya di atas segala kesilapan dan keterlanjuran yang silam, sama ada sengaja atau tidak sengaja. Terlintas dalam hati saya bahawa saya mungkin tidak berkesempatan lagi untuk memohon ampun dan maaf kepada mereka kerana saya sudah berada di hujung perjalanan hidup saya.

Sebagai iktibar kepada adik-adik yang masih mencari-cari erti hidup, ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu:

* Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, * Masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, * Masa kayamu sebelum masa miskinmu, * Masa kosongmu sebelum datang masa sibukmu, dan * Masa hidupmu sebelum datang kematianmu. (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Kita perlu sentiasa peka dan insaf bahawa tanpa perlindungan dan rahmatNya, siapakah kita, di manakah kita akan berada dan apakah akan berlaku kepada kita? Tanpa belas ihsan-Nya, kita bagaikan buih yang bila-bila masa bisa pecah dan terburai dibawa arus ombak kehidupan. Dengan sekelip mata. Kun fayakun!

Teringat kepada sebahagian lirik lagu “Doa” yang dinukilkan oleh kawan saya, Habsah Hassan.

‘Ya Allah Ya Tuhanku aku mendengar seruan dan hanya kepadaMu ku beriman

‘KeranaMu aku di sini KepadaMu aku kembali Apabila tiba saatnya nanti Sehingga tiba detik itu Ku bermohon hanya daripada Mu.. Engkau peliharailah diriku...’

Cabaran seterusnya

Sekarang saya sudah keluar dari hospital. Tidak saya ketahui apa cabaran yang menunggu saya seterusnya. Namun saya pasrah dan bertawakal kepada Yang Maha Esa. Reda dengan segala apa ketentuan-Nya. Namun saya sungguh bersyukur kerana Dia masih memberi peluang untuk saya terus hidup. Selagi hayat dikandung badan, saya beriltizam dan beristiqamah untuk menggunakan peluang kedua ini dengan sebaik mungkin untuk menjadi hamba-Nya yang akur kepada segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Insya-Allah.

Rawatan susulan perlu saya buat selepas ini. Saya kehilangan dan susut badan hampir 11kg. Proses pemulihan dijangka mengambil sedikit masa kerana saya juga didapati mengidap penyakit-penyakit sampingan yang lain yang akan memperlahankan proses penyembuhan. Kepada ahli keluarga saya yang telah menjaga saya dengan penuh kasih sayang tanpa nampak jemu atau merungut, tak dapat saya cari kata-kata untuk merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan saya. Begitu juga sahabat handai yang telah sembahyang hajat dan tidak putus-putus menadah doa untuk saya.

Penulis bukan ilmuwan agama

Dengan penuh rendah diri, saya memperakui bahawa saya bukanlah ilmuwan agama yang fasih dan arif dalam hal-hal hukum agama untuk bercakap dan berbicara secara berlebihan tentangnya tetapi perkara yang saya tuliskan di sini adalah mengikut perspektif dan pandangan saya sebagai insan biasa.

Saya insan biasa daripada kalangan marhaen seperti kebanyakan pembaca di sini. Perkongsian pengalaman ini hanya untuk menggerakkan hati kita untuk sama-sama bermuhasabah diri dan menimbulkan iltizam serta istiqamah untuk kita menjadi insan yang terbaik, yang sentiasa mencari keredaanNya dalam setiap perkara yang kita lakukan atau lafazkan.

Selamat di dunia dan akhirat

Akhir kata, saya sudahi dengan doa dan harapan agar anda dan pembaca sekalian memilih jalan dan cara hidup yang akan menjaminkan keselamatan, kedamaian dan kesejahteraan hidup di di dunia dan akhirat. Apa yang telah berlaku ke atas diri saya boleh juga berlaku ke atas diri anda.

Saya sedar bahawa pastinya ada ramai di antara kita yang telah melalui pengalaman yang sama atau yang lebih mencabar dari apa yang telah dan sedang saya lalui. Kita harus berkongsi pengalaman-pengalaman tersebut sebagai peringatan dan pengajaran bersama agar kita akur dan peka bahawa kita hanyalah insan yang daif yang sentiasa memerlukan perlindungan dan bimbingan-Nya. Jangan tunggu terhantuk dahulu baru tengadah.

Wallahualam.