‘Calon tanding Timbalan Presiden perlu bentang idea kepada rakyat’

Rafizi ketika program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Rafizi ketika program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) seharusnya tidak membentangkan idea baharu kepada anggota parti itu semata-mata.

Rafizi Ramli yang merupakan salah seorang calon Timbalan Presiden PKR berkata, mereka seharusnya turut membentangkan idea kepada rakyat.

“Supaya kita nampak dekat dengan rakyat dan saya harap Datuk Seri Saifuddin Nasution bersama-sama dengan kami untuk terus mendekati rakyat dengan melontarkan idea-idea baharu.

“Contohnya Datuk Seri Saifuddin Nasution ada pengalaman yang cukup baik sebagai bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Program itu turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan bahawa beliau tidak nampak Saifuddin yang merupakan seorang bekas menteri selama 22 bulan berada di barisan paling hadapan dalam isu membabitkan masalah telur ayam, ayam dan harga barang.

"Saya tidak nampak Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berada paling di hadapan sedangkan beliau mempunyai 22 bulan (sebagai menteri sebelum ini).

"Saya pasti beliau tahu masalah dari segi bekalan sampai ke bawah," tegasnya.

Menurut Rafizi, rakyat sebenarnya mahu mengetahui bagaimana cara pemimpin mereka untuk menurunkan harga barang dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Sebab itu gagasan yang saya cuba yakinkan kepada ahli PKR bahawa kita perlu tampilkan barisan pimpinan yang bukan sahaja boleh menunjukkan masalah tetapi ada kajian, ada kebolehan, ada kepakaran dan mengambil sesuatu isu itu sehingga dekat dengan rakyat.

"Kerana itu sahaja jalan untuk kita meyakinkan kembali kepada rakyat bahawa kita lebih layak untuk memimpin," katanya.