Khemah besar tidak pernah dibincangkan dalam PKR

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah berbincang mengenai isu khemah besar seperti yang didakwa pihak tertentu.

Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu juga tidak menjadi agenda dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Program Berani Semuka sempena Pemilihan PKR 2022 bertajuk 'Siapa Layak Bersama Anwar?' menampilkan dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu.- FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Program Berani Semuka sempena Pemilihan PKR 2022 bertajuk 'Siapa Layak Bersama Anwar?' menampilkan dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu.- FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Program itu turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden iaitu Rafizi Ramli dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Saifuddin menegaskan, gabungan politik yang sah yang disertai PKR adalah PH dan perbincangan tentang mengukuhkan parti dan PH sentiasa berjalan.

Malah katanya, Rafizi yang juga bekas Naib Presiden tidak menjadi sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan baik dalam parti mahupun PH.

“Itu adalah kenyataan. Jadi, bila saya sebutkan keputusan-keputusan itu adalah keputusan kolektif yang konsesnus dalam parti, momen yang dimaksudkan dengan rundingan itu adalah untuk mendapatkan numbers (sokongan undi di Parlimen).

“Itu adalah rahsia umum yang diketahui oleh rakyat, beberapa bulan setelah PH jatuh. Bukannya kita buat secara sembunyi dan kita buat secara konsensus dalam PH.

“Berusaha mendapatkan sokongan, kita tak kata nak pancing supaya (ahli Parlimen) lompat. Misalnya, saya boleh kekal dalam UMNO dan menyokong satu gabungan tanpa saya lompat, itu boleh berlaku. Tengok sahaja Ahli Parlimen Gua MusanTengku Razaleigh Hamzah. Dia sokong tak Perdana Menteri walaupun dia UMNO,” jelasnya.

Tambahnya, keputusan yang dibuat pada masa itu sudah lama ditinggalkan dan pendekatan untuk masih lagi mengheret kepada perbincangan dan rundingan itu sudah tidak berlaku.

“Kami dah ‘move on’ dah, itu ada garis pemisahnya. Awak cuba dan ada dua kemungkinan, berjaya atau gagal. Dalam kes ini, gagal. Kami akuinya, jujur dan kita ‘move on’ sebab kita kekurangan tiga undi pada masa itu

“Jangan suruh kami bersiap dalam pilihan raya, sedangkan pilihan raya lagi tiga tahun ketika itu. Jadi, letak diri kita pada situasi itu. Jadi, kalau nak kekal mengkritik pendekatan pada waktu itu sedangkan dia bukan sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan, tidak adillah. Bagi saya, ia agak nakal,” katanya.