Tanah kubur mendap dibaik pulih

MBPJ memulakan kerja-kerja baik pulih kawasan hakisan tanah dan tanah mendap di kawasan Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku pada Rabu.
MBPJ memulakan kerja-kerja baik pulih kawasan hakisan tanah dan tanah mendap di kawasan Tanah Perkuburan Islam MBPJ Kampung Tunku pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memulakan kerja-kerja baik pulih kawasan hakisan dan tanah mendap di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku pada Rabu.

Penyelia Tanah Perkuburan MBPJ, Mat Afindi Mohamad berkata, pihaknya sudah mula menjalankan kerja-kerja menambak tanah di kawasan terjejas dan akan membina saliran bermula Khamis.

"Kita sudah mula menurap tanah dan esok (Khamis) kita akan selesaikan kerja kerja menambak tanah di kawasan yang terjejas dan kita juga akan bina longkang.

"Kita akan tumpu kepada kawasan yang teruk terjejas terlebih dahulu dan kemudiannya akan menyelesaikan keseluruhan kawasan tanah perkuburan ini.

"Kita akan menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan segera untuk mengelak keadaan di sini menjadi semakin teruk," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan MBPJ Kampung Tunku di sini pada Rabu.

Mat Afindi Mohamad
Mat Afindi Mohamad

Pada Selasa, MBPJ turut memaklumkan akan menaik taraf kawasan kubur tersebut melibatkan kerja-kerja pembinaan pejalan kaki dan pembaikan pagar konkrit secara sebut harga melalui lantikan kontraktor.

Justeru, pihak MBPJ meminta kerjasama pihak waris untuk hadir ke Pejabat Tapak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku, di sini bermula 11 Mei hingga 17 Mei pada jam 8 pagi hingga 4 petang bagi pengecaman dan pengesahan tapak.

Dalam pada itu, Mat Afindi menambah, terdapat dua kubur yang tertimbus dan memerlukan waris keluarga untuk membuat pengecaman dan pengesahan tapak dalam kadar segera.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat (Perkhidmatan Perkuburan Dan Krematorium) MBPJ, Mat Afindi Mohamad di talian 03-78737895 atau 019-3842997.