PKR lebih berani daripada UMNO adakan pemilihan parti

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih yakin dan berani berbanding UMNO kerana mengadakan Pemilihan PKR 2022 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keberanian itu tidak ada dalam UMNO yang mengemukakan pelbagai alasan dan tindakan untuk mengelak daripada mengadakan pemilihan UMNO sebelum PRU15.

"Di kala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhempas pulas untuk mengatur strategi supaya pemilihan UMNO diadakan selepas PRU15, tetapi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bimbang akan kedudukannya dicabar.

"Beliau juga tidak bimbang akan perpecahan parti sekalipun pemilihan parti dilakukan sebelum PRU15. Dalam hal ini, Anwar muncul bukan sahaja sebagai seorang demokrat yang percaya pada mandat anggota, tetapi mencerminkan idealisme reformasi yang diperjuangkannya selama ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, selepas proses pemilihan itu diyakini kepimpinan PKR akan lebih kompak dan bersatu.

Menurutnya, ini termasuk pertandingan antara dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang dilihat tidak akan memecahbelahkan parti.

Tambahnya, pertandingan itu tidak melibatkan pertentangan ideologi dan hanya perbezaan strategi PKR dalam menghadapi PRU15.

"Siapapun yang menang jawatan Timbalan Presiden akan membantu Anwar sebagai Presiden dan menguatkan PKR itu sendiri. Anwar sebagai seorang Presiden dan seorang demokrat akan menerima siapa jua yang dipilih anggota parti untuk menjadi Timbalan Presiden.

Artikel Berkaitan:

"Persaingan antara Saifuddin dan Rafizi tidaklah kelihatan tegang dan sengit sehingga dilihat seperti 'berkerat rotan' ataupun 'menang jadi arang, kalah jadi abu'. Pertentangan antara Saifuddin dan Rafizi kali ini berbeza sifatnya jika dibandingkan pertandingan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi pada 2018," katanya.

Hassan berkata, Rafizi dan Saifuddin kelihatan membawa pendekatan 'gentlemen' dalam persaingan antara mereka berdua dan penyokong masing-masing yang mungkin 'lebih sudu dari kuah'.

"Tidak ada 'jambatan sesiapa dibakar' angkara pemilihan PKR kali ini. Pemilihan kepimpinan yang sedang berlangsung sekarang ini adalah persaingan persahabatan dalam satu keluarga besar Keadilan yang kedua-dua tokoh ini, Saifuddin dan Rafizi ada saham besar dalam membangunkan PKR sehingga kuat dan berpengaruh seperti sekarang ini," katanya.

Menurutnya, turut menarik perhatian 17 calon yang menawarkan diri bertanding bagi empat kerusi Naib Presiden PKR seperti yang diperuntukkan dalam Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan.

Katanya, pemilihan kepimpinan PKR pada tahun ini memberi kesan yang amat positif dan sekarang masyarakat di seluruh negara dapat melihat tokoh-tokoh selain Anwar dalam PKR selain pemimpin pelapis kedua dan ketiga.

"Pertandingan di peringkat Wanita Keadilan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga hebat dan sengit. Ini membuktikan PKR tidak kurang bakat kepimpinan.

"Beribu anggota PKR seluruh negara menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan dalam parti, dari kepimpinan di Majlis Pimpinan Pusat sehinggalah ke peringkat akar umbi di peringkat jawatankuasa cabang," katanya.