Sindiket PATI tunggu tengah malam untuk ceroboh

Maritim Selangor menahan PATI dalam operasi pada tahun ini.
Maritim Selangor menahan PATI dalam operasi pada tahun ini.
A
A
A

KLANG - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan menunggu waktu tengah malam hingga awal pagi sebelum menceroboh masuk ke perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, modus operandi sindiket itu dikesan hasil risikan, maklumat dan tangkapan yang dijalankan pihaknya.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendapati sindiket PATI ini akan masuk ke perairan negara bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 4 pagi bagi mengaburi kegiatan itu daripada mudah dikesan pihak berkuasa.

"Mereka (sindiket) menggunakan bot pom-pom, bot pancung, bot nelayan tempatan atau bot barter trade.

"Bot nelayan tempatan ini berperanan untuk melakukan pemindahan PATI di sempadan perairan negara sebelum dibawa masuk ke dalam negara," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, PATI yang mendarat kemudian akan menggunakan khidmat kenderaan e-hailing bagi urusan pengangkutan ke rumah penampungan atau ke lokasi tertentu.

Katanya, Maritim Selangor mengenal pasti terdapat enam hotspot pendaratan PATI iaitu persisiran pantai Sabak Bernam, Sekinchan, Jeram, Pulau Carey, Morib dan Tanjung Rhu.

Mohd Rosli
Mohd Rosli

"Ini berikutan hasil tangkapan 88 PATI bagi tempoh empat bulan pada tahun ini sehingga April.

"PATI terdiri daripada 82 warga Indonesia dan enam Myanmar itu termasuk penahanan dua kanak-kanak," ujarnya.

Tegasnya, pihak Maritim mengingatkan agar jenayah ini dihentikan termasuklah kepada pemandu e-hailing agar tidak bersekongkol dengan sindiket kerana mengejar upah lumayan hingga sanggup menjadi pengkhianat negara.

"Kita sentiasa pertingkat risikan dan sekiranya tertangkap, individu terlibat akan dikenakan hukuman berat.

"Orang ramai juga disaran untuk salur maklumat dalam membantu penguat kuasa dalam usaha membenteras jenayah ini.

"Jika terlihat atau pun mengetahui apa-apa aktiviti yang mencurigakan sila lapor kepada agensi penguat kuasa," katanya.