Rumah RRP kepada mangsa kebakaran di Felda Jengka

Nazri (dua dari kanan) ketika melawat rumah mangsa kebakaran di Felda Jengka 9, pada Selasa.
Nazri (dua dari kanan) ketika melawat rumah mangsa kebakaran di Felda Jengka 9, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersetuju untuk memberikan sumbangan bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 3 kepada sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Felda Jengka 9, pada 4 Mei lalu.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, pemberian tersebut dibuat selepas menilai keseluruhan kebakaran yang dialami mereka terlibat.

"Saya difahamkan kesemua mereka telah ditempatkan sementara ke Dewan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda. Mereka ditempatkan di situ kerana tiada tempat berteduh selepas keseluruhan rumah musnah dalam kebakaran terbabit.

“Pihak Felda juga membuat kutipan tabung sumbangan bencana bagi meringankan bebanan mangsa sekeluarga yang berdepan dengan musibah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada 4 Mei lalu, rumah pusaka separuh batu yang didiami Muhamad Shah Ahmad Ghazali, 43, musnah lebih 80 peratus akibat kebakaran.

Ketika kejadian tiada penghuni di rumah kerana mereka sekeluarga dikatakan dalam perjalanan untuk berhari raya di Felda Kumai, Bera.

Nazri bagaimanapun berkata, pihak kerajaan akan menyegerakan pembinaan RRP bagi membolehkan mereka mendapat rumah yang selesa.

"Jadi, kerja-kerja pembinaan akan dilakukan dalam masa terdekat dan harap mangsa dapat bersabar," ujarnya.