Pastikan trauma pengkhianatan tak berulang: Adam Adli

Adam Adli pada program ‘Debat Ketua AMK’ yang disiarkan secara langsung di Astro Awani.
Adam Adli pada program ‘Debat Ketua AMK’ yang disiarkan secara langsung di Astro Awani.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim berpandangan sebarang perbincangan berkait dengan kerjasama politik selepas ini harus berdasarkan prinsip yang tidak boleh merugikan rakyat serta menjauhi unsur-unsur khianat.

Bekas aktivis mahasiswa itu berkata, ia bertujuan bagi memastikan trauma pengkhianatan parti yang pernah berlaku sebelum itu tidak berulang lagi seterusnya dapat memfokuskan ke arah hala tuju parti yang lebih baik.

"Kita tidak boleh mengulangi trauma sebelum ini dan kita percaya rakyat luar mahupun anggota parti sudah cukup bijak untuk menilai di mana untuk kita letakkan hala tuju kita.

"Insya- ALLAH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saya yakin kita dapat bawa keluar hala tuju yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program debat antara calon Ketua AMK, yang turut menampilkan Fahmi Zainol yang disiarkan secara langsung di Astro Awani pada Selasa.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, dinamik gabungan parti politik di negara ini sering berubah namun pendekatan gabungan parti itu tidak lagi asing bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, setiap gabungan politik di negara ini adalah gabungan politik yang pernah dianggotai oleh parti-parti politik yang berbeza.

“PKR ini adalah satu-satunya parti politik yang kontemporari yang merupakan parti gabungan. Maka ini bukanlah satu strategi ataupun pendekatan yang terlalu asing bagi kita.

“Saya yakin, percaya dan setuju bahawa apapun perbincangan berkait dengan kerjasama politik selepas ini harus berdasarkan pada prinsip tidak boleh merugikan rakyat dan yang paling penting harus menjauhi unsur-unsur khianat.

“Yang paling penting adalah pendirian dan prinsip-prinsip yang dibawa oleh wadah politik yang dianggotai oleh kita terutama dalam menjelang PRU15 kali ini,” ujarnya.