Sila log masuk terlebih dahulu.

KPDNHEP KL rampas barang tiruan RM1.5 juta

Antara rampasan pelbagai barangan tiruan di ibu negara April lalu.
Antara rampasan pelbagai barangan tiruan di ibu negara April lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur melumpuhkan kegiatan penjualan barangan tiruan dengan rampasan berjumlah RM1.5 juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, statistik direkodkan bagi tempoh empat bulan setakat April itu hasil 40 kes yang dicatatkan membabitkan rampasan 43,975 barangan.

Menurutnya, KPDNHEP Kuala Lumpur mengesan modus operandi kegiatan ini yang dipelopori warga asing terutama dari warga Bangladesh dan Pakistan.

"Trend penjualan barang tiruan ini berubah sejak dua tahun lalu kerana barangan terbabit kebanyakannya dibawa masuk dari negara terbabit.

"Kita juga mengesan kegiatan ini yang menggunakan nama warga tempatan untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan di dalam negara," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, Ops Tiru telah dilaksanakan KPDNHEP di mana pihaknya mempertingkatkan pemeriksaan premis dan mengambil tindakan kes di bawah Akta Cap Dagang 2019.

KPDNHEP Kuala Lumpur merampas barang tiruan dalam operasi di ibu negara, tahun ini.
KPDNHEP Kuala Lumpur merampas barang tiruan dalam operasi di ibu negara, tahun ini.

Katanya, notis amaran kepada pemilik premis dan bangunan juga akan diberikan bagi memberi amaran agar tidak langsung membenarkan premis mereka untuk menjalankan aktiviti barangan tiruan atau cetak rompak.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan kenal pasti pemilik premis atau bangunan sebelum mendapatkan maklumat latar belakang. Tindakan lain-lain termasuklah pemeriksaan yang berkaitan juga akan dilaksanakan," ujarnya.

Tambah Nurul Syarina, pihaknya sentiasa menjalankan penguatkuasaan selain tindakan yang juga akan diambil di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Jangan sesekali bersekongkol dengan sindiket menjual barangan tiruan ini. KPDNHEP Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada, peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya.