Kerajaan diminta perhalusi tuntutan PVATM

Bangunan Wisma Pahlawan PVATM Juasseh bakal dimanfaatkan ahli dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang. Gambar kecil: Adnan
Bangunan Wisma Pahlawan PVATM Juasseh bakal dimanfaatkan ahli dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang. Gambar kecil: Adnan
A
A
A

KUALA PILAH- Kerajaan diminta perhalusi dan mempertimbangkan beberapa tuntutan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Malaysia (PVATM) terutamanya membabitkan penyelarasan pencen dan elaun bulanan penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad berkata, ia berikutan kerajaan mempunyai kuasa untuk meluluskannya.

"Apa yang saya maksudkan adalah tuntut ini tidak boleh dikaitkan dengan akta sedia ada contohnya akta pencen dan sebagainya. Memanglah kita tidak boleh tuntut dan sebagainya sebab ia tidak wujud.

"Kita minta ini kepada pihak kerajaan sebab mereka mempunyai kuasa untuk memperhalusi, membahaskan dan meluluskan apa jua skim, akta atau peruntukan bagi memenuhi apa yang diperjuangkan PVATM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Perasmian Bangunan Wisma Pahlawan PVATM Juasseh pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan, jurang perbezaan kadar pencen dalam pangkat yang sama amatlah ketara dan ia melebar khususnya melibatkan penerima pencen kadar tinggi hanya 10 peratus dan penerima pencen kadar rendah lebih kurang 90 peratus bagi anggota lain-lain pangkat (LLP).

Perbezaan ini berlaku kerana setiap kali pelarasan dan kenaikan gaji anggota ATM yang sedang berkhidmat tidak melibatkan pelarasan pencen veteran yang telah bersara.

Dalam pada itu, Adnan mengakui tuntutan itu tiada dalam mana-mana akta atau peruntukan, selain kerajaan turut mengakui peranan bekas tentera dalam melakukan tugas eksklusif dan ia sepatutnya dapat direalisasikan.

"Tuntutan yang dibuat juga bukan dalam jumlah yang banyak dan bilangan mereka juga tidak ramai, malah ada sedang menghitung hari," katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, Adnan berkata, dengan adanya bangunan itu membolehkan ahli PVATM menjadikannya sebagai pusat setempat bagi pelbagai aktiviti sekali gus menghidup dan mengaktifkan fungsi persatuan untuk dimanfaatkan dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat secara kolektif.